SEBAB Terlalu Yakin - Marc Marquez
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
4/30/20251 min read


MARC Marquez mengakui terlalu yakin menjadi punca dia terjatuh pada perlumbaan MotoGP Grand Prix Sepanyol 2025 di Jerez, minggu lalu.
Selepas memenangi Perlumbaan Sprint pada Sabtu, pelumba Ducati Lenovo itu jelas menjadi pilihan utama untuk menjuarai perlumbaan utama.
Tetapi 'masalah' mula tiba buat Marquez yang memulakan perlumbaan di petak kedua selepas berdepan kesukaran di permulaan perlumbaan selepas berdepan kemalangan di selekoh 8 pusingan selekoh tiga.
Sekalipun kembali menyertai perlumbaan dengan jentera yang sudah tidak lagi sempurna, pelumba kelahiran Sepanyol hanya mampu melepasi garisan penamat di tempat ke-12.
"Kemalangan semalam (Ahad) adalah kemalangan yang saya dapat... fikirkan dengan baik, ia adalah sesuatu yang perlu saya elakkan. Ia kerana saya masuk (ke selekoh) terlalu laju.
"Dan saya sedar bahawa saya terlalu laju. Tetapi daripada pergi keluar sedikit, saya cuba kekal di garisan (perlumbaan).
"Disebabkan oleh ia berlaku pada selekoh kiri itu, saya rasa sangat baik. Ia adalah kemalangan pertama musim ini di selekoh kiri.
"Jadi saya percaya pada diri sendiri dan saya berkata, 'OK, saya akan kekal' (pada garisan perlumbaan). Tetapi ia seseuatu yang mustahil, terlalu yakin. Saya perlu lebih berhati-hati pada masa depan."
Berbanding tahun lalu, jumlah kemalangan yang dihadapi Marquez jauh lebih rendah iaitu tiga kejatuhan pada lima pusingan berbanding tujuh pada musim lalu.
Tetapi dua daripada kemalangan itu boleh dikatakan cukup menyakitkan iaitu ketika perlumbaan GP di COTA dan Jerez. Satu lagi kemalangan berlaku ketika sesi latihan di Amerika Syarikat.
"Ia amat aneh kerana ia adalah tahun yang saya kurang kemalangan, tetapi dua kali berlaku pada Ahad," kata Marquez. "Jentera berfungsi dengan amat bagus seperti kita dapat lihat, tanpa sayap, tanpa segala-galanya, dan sekali lagi saya menunggang dengan baik.
"Tetapi jika saya mahu bersaing merebut kejuaraan, saya perlu belajar mengenai kesilapan-kesilapan ini."
