SEGALANYA Tidak Mustahil, kata Pengurus Pedro Acosta

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/24/20251 min read

PENGURUS kepada Pedro Acosta menegaskan tugasnya adalah untuk mencari jentera terbaik di MotoGP bagi pelumba bintang KTM itu.

Mendedahkan sedang 'melakukan pencarian', Albert Valera menegaskan adalah terlalu awal untuk mendedahkan perkara berkenaan.

Acosta ketika ini menjadi tumpuan apabila dikatakan menjadi buruan dua pengeluar - Ducati dan Honda.

Sekalipun tidak memiliki jentera yang kompetitif, Honda mempunyai kekuatan dari sudut kewangan dengan Ducati dikatakan berupaya menawarkan jentera berstatus 'kilang' bersama pasukan satelitnya VR46 Ducati.

Menurut akhbar Itali, Gazzetta, ujian di Jerez selepas Grand Prix Sepanyol penting bagi Acosta untuk membuat keputusan mengenai perkara itu.

"Segala-galanya tidak mustahil, tugas saya adalah mencari jentera terbaik untuk Pedro,” kata Valera kepada GPone.

“Kita lihat di mana kita akan menemui jentera itu. Semoga ia adalah KTM, jika tidak, kami akan mencari alternatif lain. Walaupun buat masa ini, masih terlalu awal untuk berbincang tentang perkara itu."

Valera menegaskan Acosta sebagai antara pelumba terbaik generasinya perlu menunggang jentera terbaik.

“Saya tahu dia menghargai KTM atas segala yang mereka lakukan untuknya. Dia tahu kesukaran yang sedang dihadapi oleh pengeluar Austria itu dan yakin mereka akan membawa sesuatu yang baru ketika perlumbaan di Eropah.

“Dia juga yakin keadaan akan bertambah baik di Eropah, jadi dia tidak merasa tekanan dari sudut itu. Jika dia membuat kesilapan, itu adalah kerana cuba menekan melepasi hadnya.

"Dia seorang juara, dan dia cuba untuk menang walaupun jenteranya ketika ini bukanlah yang terbaik. Dia baru berumur 20 tahun dan seorang yang keras kepala yang dia boleh melakukannya, jadi dia kadang kala melampaui batas.”

Selepas tiga pusingan, KTM mula menampilkan belangnya di Qatar apabila Maverick Vinales meraih tempat kedua sebelum keputusan itu dibatalkan susulan penalti.

Keputusan terbaik bekas juara dunia Moto3 dan Moto2 itu pada musim ini adalah kedudukan ke-8 di Argentina dan Qatar.