'SEJAK Awal Dah Rasa Enjin Ducati GP24 Lebih Baik'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/14/20251 min read

DUCATI Corse akhirnya memutuskan untuk menggunakan enjin Ducati GP24 bagi jentera pasukan 'kilangnya', Ducati Lenovo dan situasi seperti boleh dijangka pelumbanya, Francesco Bagnaia sejak awal.

Pemilihan enjin menjadi antara perkara paling penting buat Ducati apabila pengeluar itu akan berdepan pembekuan pembangunan enjin selama dua tahun sejurus kempen musim 2025 bermula di Thailand.

Sekalipun menggunakan jentera spesifikasi Ducati GP25 ketika ujian, Bagnaia dan rakan sepasukannya Marc Marquez menguji enjin GP24 di Buriram dan ia diakui lebih baik berbanding enjin GP25.

Ia dibuktikan apabila Marquez melakukan catatan masa terpantas di Thailand dengan Bagnaia di kedudukan kelima.

Ketika ditemui media, pelumba kelahiran Itali itu mengakui dia 'berbohong' kepada media malah sudah menyedari sejak awal enjin GP25 kurang kompetetif terutama ketika melakukan brek.

"Sejujurnya, untuk menjadi lebih baik daripada 24 (enjin) adalah sukar dan saya fikir semua orang sanggup membayar untuk perkara seperti ini," kata Bagnaia.

"Tetapi dari sudut pandang saya, saya agak yakin. Saya perlu berkata saya tidak bercakap benar ketika ini dan saya tidak boleh bercakap mengenai kebenaran.

"Tetapi saya agak yakin yang sejak daripada mula yang 24 lebih baik.

"Kemudian kami berusaha, kami cuba untuk menambah baik tetapi untuk hari pertama di Malaysia, saya dan Marc ada pandangan yang sama iaitu GP24 sedikit lebih baik.

"Kami cuba untuk melakukan peningkatan untuk sistem brek, tetapi tidak berjaya. Jadi kami bekerja di sini dengan 24 dan kami memahami yang kami masih mempunyai beberapa marjin dengannya. Jadi ia bagus."

Dalam pada itu, Ducati dikatakan akan menggunakan kempen musim ini dengan pakej aerodinamik dan Casis GP24 tetapi Bagnaia menjelaskan dia akan menunggang jentera versi GP24.9.