SEJARAH Dilakar Hakim Danish Di Brno
Malaysia kembali memiliki juara di pentas Kejuaraan Motosikal Dunia berakhir selepas 10 tahun apabila Hakim Danish Ramli mencipta sejarah menjuarai perlumbaan Moto3 Grand Prix (GP) Republik Czech 2026 di Brno, hari ini
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/21/20261 min read


PENANTIAN 10 tahun Malaysia untuk kembali memiliki juara di pentas Kejuaraan Motosikal Dunia berakhir apabila Hakim Danish Ramli mencipta sejarah menjuarai perlumbaan Moto3 Grand Prix (GP) Republik Czech 2026 di Brno, hari ini.
Selain menamatkan penantian negara, kemenangan itu adalah kemenangan pertama pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets MSi itu di pentas Moto3 dan lebih menarik, pada penampilan musim 'rookie'.
Sebagai rekod, 10 tahun lalu kejayaan sama dilakar seorang lagi pelumba berbakat negara, Khairul Idham Pawi di GP Jerman.
Lebih mengujakan, kejayaan yang dilakar pelumba kelahiran Terengganu itu tidak datang dengan mudah, malah terpaksa bangkit daripada hukuman penalti yang dikenakan kepadanya yang menyaksikannya terpaksa memulakan perlumbaan di petak ke-14.
Hakim Danish semalam turut mencipta sensasi apabila meraih petak ke-2 ketika Kelayakan 2 (Q2) namun tindakannya memperlahankan jenteranya di salah satu sektor menyaksikannya dikenakan penalti 12 grid ke belakang.
Dan seperti dua hari lalu yang turut menyaksikannya mencatat masa terpantas pada Jumaat, Hakim Danish tampak cukup yakin dengan kemampuannya di Brno dan berjaya meletakkan dirinya di kelompok depan seawal mungkin sebelum menang.
Berada di kelompok podium pada pusingan terakhir, pertarungan membabitkan pencabarnya menyaksikan Hakim Danish tenang melepasi garisan penamat sebagai juara dengan catatan masa 33 minit 34.26 saat.
Pelumba Sepanyol, Brian Uriarte menamatkan perlumbaan di tempat ke-2 dengan ketinggalan 0.466 saat manakala Marco Quiles (CFMoto Aspar) melengkapkan podium.
Hakim Danish sebelum ini turut menamatkan penantian negara untuk memiliki pemenang di podium apabila meraih tempat ke-3 di GP Itali pada bulan lalu.

