'Selamat Tinggal Ducati, Pramac Sah Sertai Yamaha'
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/29/20242 min read
PRAMAC Racing mengucapkan selamat tinggal kepada Ducati selepas mengesahkan kerjasama bersama Yamaha bagi kempen MotoGP bermula musim 2025.
Bergelar pasukan 'satelit' rasmi kepada Ducati dan diberikan jentera spesifikasi terkini Ducati GP24, status berkenaan dilihat tidak berjaya menjadi daya penarik buat Pramac untuk kekal bersama pengeluar Itali itu.
Pramac sah kehilangan bintang utamanya, Jorge Martin yang memilih untuk menyertai Aprilia selepas 'ditolak' Ducati manakala pelumba yang pada awalnya ingin disenarai Ducati Corse sebagai pengganti, Marc Marquez jelas tidak berminat menyertai pasukan itu.
Pasukan itu pada awalnya dikatakan ingin akan kekal bersama Ducati yang memiliki jentera kompetitif namun selepas 'penolakan' Marquez serta beberapa lagi pelumba utama seperti Enea Bastianini, Maverick Vinales dan Marco Bezzecchi masing-masing sudah pun mempunyai tempat, spekulasi perpindahan itu kembali meningkat.
Sekalipun Yamaha tidak memiliki jentera yang kompetitif ketika ini dengan kali terakhir Yamaha M1 meraih kemenangan pada pertengahan 2022, peningkatan bajet pengeluar Jepun itu dikatakan menjadi antara daya penarik buat Pramac.
Dan selepas pelumba Monster Yamaha, Alex Rins mengeluarkan bayangan Yamaha akan mengumumkan pasukan satelitnya tidak lama lagi, kedua-dua entiti Yamaha-Pramac akhirnya mengeluarkan kenyataan rasmi.
"Yamaha Motor Co., Ltd. teruja untuk mengumumkan perjanjian selama beberapa tahun bersama Prima Pramac yang akan menyaksikan dua lagi jentera 'kilang' Yamaha YZR-M1 di grid MotoGP 2025 dan seterusnya.
"Pasukan 'kilang' kedua Yamaha akan kekal sebagai pemilikan secara bebas dan akan kekal di ibu pejabat mereka di Rugby (United Kingdom).
"Barisan pelumba Prima Pramac 2025 akan diumumkan pada tarikh yang sudah ditetapkan.
"Dengan menggandakan kehadiran Yamaha ketika ini di grid MotoGP musim depan, sasaran yamaha adalah menunjukkan tekad kami untuk kembali ke jalan kemenangan pada masa terdekat," tulis pasukan itu dalam kenyataan media.
Pramac dalam kenyataan dikeluarkan mengakui teruja untuk menyertai Yamaha musim depan.
"Babak bersama Yamaha membuka era baharu untuk Prima Pramac Racing yang menjanjikan peluang yang menarik dan memperbaharui semangat. Yamaha yang memiliki sejarah yang kaya bersama rekod prestasi yang sudah pun terbukti di MotoGP sejajar dengan visi Pramac untuk masa depan.
"Sejak 20 musim lalu, Pramac Racing mengharungi kerjasama yang berjaya bersama Ducati, mengukuhkan tempat sebagai kuasa yang kuat di paddock MotoGP.
"Keputusan untuk berpisah dengan Ducati tidak mudah dan kami mengucapkan terima kasih kepada mereka atas kejayaan serta kerjasama panjang kami bersama.
"Untuk baki musim ini, Prima Pramac Racing komited untuk mengekalkan momentum dalam kejuaraan dan semangat berpasukan bersama Ducati."
Pramac membuat debut di MotoGP pada 2002 dan perangkul podium dan kemenangan pertamanya bersama pelumba Jepun, Makoto Tamada menggunakan jentera Honda.
Pasukan itu kemudian bergabung dengan pasukan d’Antin dan berubah pengeluar kepada Ducati sejak 2004 sehingga kini namun kemenangan pertama bersama pengeluar Itali itu hanya berjaya dicapai pada musim 2021 menerusi Jorge Martin.