SELAMAT Tinggal Honda, Tiada Marc Marquez, Tiada Red Bull
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
11/14/20231 min read
REPSOL Honda berterusan ditimpa musibah dengan terbaharu, salah satu penaja utamanya, Red Bull dilaporkan akan menarik penajaan mereka daripada pasukan itu sejurus musim ini dinoktahkan.
Memetik laporan Speedweek, keputusan itu diambil selaras dengan keputusan yang diambil pelumba bintang pasukan itu, Marc Marquez yang akan meninggalkan pasukan itu sejurus musim ini berakhir.
Lebih mengecewakan Repsol Honda, destinasi juara dunia lapan kali itu bukanlah pasukan utama atau 'Factory', namun pasukan satelit Ducati, Gresini.
Dan seperti Marquez, Red Bull turut dikatakan menghalakan bajet besar penajaan mereka kepada Gresini.
Jika ia benar-benar berlaku, kehadiran Red Bull kepada Gresini dikatakan benar-benar memberikan manfaat kepada pasukan itu.
Selain Red Bull, syarikat minuman keras Sepanyol, Estrella Galicia juga sudah menyertai adik beradik Marquez dengan menyertai Gresini namun menerusi Alex.
Begitupun, satu lagi syarikat besar iaitu Repsol dijangka akan meneruskan kerjasama dengan Honda pada tahun 2024 yang juga tahun terakhir mereka dalam kontrak membabitkan kedua-dua syarikat itu.
Perkembangan yang pasti melegakan Honda itu diperoleh daripada laporan Mundo Deportivo bulan lalu selain yang turut menjadi penanda aras di mana kerjasama antara kedua-dua syarikat itu sudah pun melebihi 30 tahun.
Sebelum ini, Marquez menafikan yang dia berlumba secara percuma di Gresini Ducati namun mengesahkan akan melepaskan status sebagai penerima gaji tertinggi di MotoGP dengan meninggalkan Honda.