'SELEPAS Malaysia, sesuatu berlaku dan ia tak bagus' - Di Giannantonio

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/20/20231 min read

JUARA MotoGP Grand Prix (GP) Qatar, Fabio di Giannantonio mendedahkan dia tiba di Qatar dengan perasaan 'marah' susulan perkembangan kurang enak membabitkan masa depannya di MotoGP selepas GP Malaysia 2023 berakhir.

Bakal dilepaskan oleh Gresini Ducati musim depan, Di Giannantonio merangkul kemenangan pertama kariernya di MotoGP dengan mengatasi cabaran penyandang juara, Francesco Bagnaia.

Dan disebalik kemenangan yang diraih, pelumba kelahiran Itali itu menjelaskan pintunya untuk beraksi di MotoGP musim depan sudah tertutup disebalik prestasi cemerlang yang diperolehnya.

"Saya mahu bersikap jujur dan berkata satu perkara," kata Di Giannantonio. “Selepas Malaysia sesuatu berlaku mengenai masa depan saya dan ia bukannya perkara yang bagus.

"Jadi saya pulang ke rumah saya dengan perasaan yang amat marah tetapi dengan cara yang positif. Saya berkata dua atau tiga perkara kepada keluarga dan rakan-rakan saya yang di Qatar, saya akan menang.

"Rakan-rakan saya berkata 'Jangan berkata seperti itu, pergi ke sana dan lakukan kerja anda'. Tetapi saya kata 'Tidak, saya akan menang, saya akan melakukannya.

"Tetapi kamu perlu melakukannya dengan baik dan menjadikannya kenyataan. Ia tidak mudah tetapi kami melaksanakannya," kata Di Giannantonio memetik laporan Crash.net

Mengulas kemenangannya, Di Giannantonio berkata ia detik yang menakjubkan tetapi perasaannya cukup tenang kerana sudah memahami apa yang berlaku selain sedar dengan 'pertaruhannya' cukup besar.

"Ia sukar kerana dia (Bagnaia) adalah juara dunia. Dia sudah menang banyak perlumbaan dan tahu dengan cukup sempurna untuk menguruskan situasi.

"Juga, dia sedang bersaing bagi kejuaraan dunia, jadi saya perlu amat berhati-hati. Sudah tentu, saya tidak mahu melakukan sesuatu yang bodoh dan merosakkan perlumbaan orang lain.

"Saya tahu yang saya mempunyai sesuatu yang istimewa. Pada satu ketika, saya merasa kasihan kepadanya kerana saya mengambil mata daripadanya tetapi saya mempunyai peluang untuk menang."