SELURUH Badan Sakit, Saya Bertuah - Toprak Razgatlioglu

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/17/20251 min read

TOPRAK Razgatlioglu menyifatkan dia bertuah apabila tidak berdepan kecederaan serius susulan kemalangan yang dihadapinya pada hari pertama ujian pra-musim WSBK 2025 di Phillip Island, semalam.

Pelumba pasukan ROKit BMW Motorrad itu menjadi salah seorang pelumba berprofil tinggi berdepan kemalangan dengan seorang lagi bekas juara dunia, Jonathan Rea terpaksa meninggalkan perlumbaan selepas mengalami kecederaan kaki.

Dibenarkan kembali ke litar untuk meneruskan ujian pada sesi kedua, pelumba kelahiran Turki itu yang mengalami 'highside' pada selekoh enam tetap menyatakan kemalangan itu membuatkan keseluruhan badannya sakit.

"Bagi saya ia kemalangan yang amat aneh," kata Razgatlioglu kepada WorldSBK.com yang turut menamatkan hari pertama ujian sebagai pelumba ketiga terpantas.

"Kami melihat kembali data, dan saya berada di keadaan 39 peratus terotel dan apabila saya mengalami 'highside', kerana kawalan cengkaman tidak berfungsi dengan sempurna.

"Saya tidak tahu kenapa, malah selepas saya bercakap dengan mereka yang bertanggungjawab terhadap elektronik, dan dia juga memeriksanya. Kami masih tidak tahu apakah sebabnya, tetapi apapun, ia tidak terlalu teruk.

"Saya bertuah tiada tulang yang patah, tetapi saya merasai kesakitan di mana-mana, terutama di bahagian tangan.

"Pada sesi tengah hari, saya kembali menunggang kerana saya perlu memahami jentera dengan baik dan berusaha mendapatkan pelarasan terbaik. Pada hujungnya, kami mendapatkan kelajuan yang baik, memahami jentera dengan lebih baik, dan mendapatkan pelarasan yang baik."

Begitupun, Razgatlioglu masih belum berpuas hati dengan kemampuan jenteranya BMW M1000 RR setakat ini.

"Esok adalah hari lain dan saya berharap untuk mendapatkan pelarasan lebih baik," katanya. "Kelajuan sudah ok setakat ini, tetapi saya mahukan lebih lagi sedikit.

"Saya merasa lebih baik untuk perlumbaan hujung minggu kerana kami mempunyai tiga atau empat hari, jadi saya fokus kepada jentera saya, kerana kami memerlukan pelarasan yang baik."