SEMANGAT Hakim Danish Tetap Berkobar
Pada aksi di Litar Antarabangsa Lusail itu, Hakim Danish yang beraksi bersama pasukan AEON Credit MT Helmets MSi menamatkan perlumbaan di tempat ke-7 namun berpeluang memperoleh keputusan lebih baik sebelum berdepan 'insiden' pada pusingan terakhir
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
11/9/20261 min read


PELUMBA Moto3 negara, Hakim Danish Ramli melihat keputusan yang diraih pada Grand Prix (GP) Qatar 2026 sebagai positif sekali gus meningkatkan semangatnya untuk meraih pencapaian lebih baik pada baki 2 pusingan terakhir.
Pada aksi di Litar Antarabangsa Lusail itu, pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets MSi itu yang menamatkan perlumbaan di tempat ke-7 berpeluang memperoleh keputusan lebih baik sebelum berdepan 'insiden' pada pusingan terakhir.
Memulakan perlumbaan di petak ke-7, pelumba kelahiran Terengganu itu berjaya bangkit daripada permulaan perlahan sehingga berjaya menempatkan jenteranya di kedudukan ke-5, sebelum asakan agresif pencabarnya pada saat akhir menyebabkannya tersasar dan menamatkan saingan di tempat ke-7.
Menyifatkan ia sebagai satu perlumbaan yang menuntut kekuatan mental dan fizikal, Hakim Danish lebih selesa melihat prestasinya itu dari sudut yang positif.
"Ia minggu perlumbaan yang positif untuk saya. Walaupun semasa awal perlumbaan rentaknya tidak begitu baik, saya cuba memulihkan kembali posisi saya.
"Saya kekal fokus untuk mengekalkan rentak kelajuan serta mengejar kumpulan di depan, dan akhirnya saya berjaya sampai di kumpulan itu," kata pelumba berusia 19 tahun itu.
Begitupun, impiannya untuk membawa pulang keputusan yang lebih membanggakan terpaksa dibayar dengan harga yang mahal pada pusingan terakhir tatkala semua pelumba bermati-matian merebut garisan penamat.
Mengulas mengenai detik berkenaan, Hakim enggan menjadikannya sebagai satu alasan, sebaliknya berikrar untuk tampil lebih baik pada pusingan seterusnya.
"Pada pusingan terakhir, saya diasak menyebabkan (jentera) saya sedikit terkeluar dan saya tamat perlumbaan di P7. Tetapi masih ada dua perlumbaan untuk musim ini dan saya tidak akan berputus asa hingga perlumbaan terakhir," katanya.

