SEMUA Di KTM Terkejut - Pedro Acosta

Selepas mengharungi sesi Kelayakan dan Perlumbaan Sprint yang baik (kelayakan ada sedikit drama), Pedro Acosta tampak seperti mampu mencabar duo pelumba Ducati Lenovo, Pecco Bagnaia dan Marc Marquez di awal perlumbaan tetapi ia tak jadi kenyataan

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/29/20251 min read

PELUMBA bintang KTM, Pedro Acosta menyifatkan persembahan KTM di Grand Prix (GP) Jepun 2025 sebagai 'mengejutkan' yang menyaksikannya bermula sebagai pencabar podium dan menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-17.

Acosta, yang bermula dengan baik selepas dan bermula di petak ketiga perlumbaan mula kehilangan rentak sejurus memasuki pertengahan saingan yang menyaksikannya dipintas berturut-turut oleh Marc Marquez, Joan Mir, Marco Bezzecchi dan Franco Morbidelli.

“Saya tahu perlumbaan akan sukar kerana tayar, tetapi saya tidak sangka ia seteruk ini,” kata Acosta. “Saya cuba untuk memintas di Selekoh 3 dan 5 tetapi gagal. Jadi saya putuskan untuk jaga tayar dan kekalkan rentak. Saya tidak memberi tekanan, walaupun itu bukan gaya saya.”

Situasi bertambah buruk apabila jentera KTM RC16 yang ditunggang Acosta gagal berhenti di Turn 1 pada pusingan ke-19, menyebabkannya terbabas ke kawasan kerikil dan terpaksa menyambung perlumbaan dari kedudukan terakhir.

“Saya tak pasti sama ada pad brek terbuka atau ada gegaran. Sukar untuk dijelaskan,” katanya.

Kegagalan Acosta menyaksikan pelumba Tech3, Enea Bastianini menjadi pelumba KTM terbaik di tempat ke-11, diikuti Brad Binder (12) dan Maverick Vinales (16).

Prestasi hambar ini amat mengejutkan memandangkan KTM sebelum ini konsisten di podium dalam siri perlumbaan Eropah.

“Kami datang dari musim Eropah yang sangat baik, dengan suhu yang tidak terlalu panas,” kata Acosta. “Di sini, suhu tayar terlalu tinggi dan lebih lembut berbanding tayar yang biasa kami gunakan. Kami sangka kami akan tampil lebih baik, tetapi realitinya jauh berbeza.

"Dan ia mengejutkan kepada semua orang, tetapi kami perlu positif. Saya laju ketika kelayakan. Saya laju semalam (Sabtu) ketika perlumbaan Sprint dengan pusingan yang kurang. Tetapi pada hari ini (Ahad), kami berada dalam lubang yang mustahil untuk keluar."