'SEMUA Orang Mula Percaya Dengan Saya, BMW'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/17/20241 min read

TOPRAK Razgatlioglu menghadiahkan kemenangan hatrik WorldSBK kepada BMW Motorrad di Misano, Itali dan kejayaan itu disifatkannya berjaya meletakkan pengeluar Jerman itu sebagai pencabar kejuaraan tulen.

Kemenangan pada Pusingan 4 WSBK 2024 menyaksikan pelumba kelahiran Turki itu kini bergelar pendahulu carta kejuaraan dunia dengan kelebihan 21 mata depan pencabar terdekatnya dari Ducati, Nicolo Bulega.

Justeru selain membuktikan kemampuannya untuk bukan saja memberi cabaran, kejayaan yang dilakar di Itali itu mula membuatkan orang ramai percaya dengan kemampuan BMW Motorrad.

"Di Phillip Island, kami berdepan masalah mekanikal, dan tanpanya jurang kami cukup jauh," kata Razgatlioglu. "Perkara ini cukup bagus. Kami belajar dan bertambah baik.

"Saya agak bimbang pada ujian pertama saya kerana keadaannya basah, saya tidak dapat memahami sama ada ia laju atau tidak. Pada ujian kedua, bersama dengan semua orang, saya faham yang saya laju, dan jentera ini mempunyai potensi, dan saya menunjukkannya kepada semua orang.

"Semua orang mula untuk mempercayai saya dan BMW. Kami bergerak selangkah demi selangkah pada musim ini.

"Saya berharap kami menamatkannya sebagai juara dunia, tetapi masih banyak lagi perlumbaan dan lebih baik tidak bercakap mengenai perkara ini!"

Mengulas lanjut, bekas pelumba Yamaha itu mengakui keyakinannya dengan jentera BMW M1000RR berterusan meningkat.

"Saya amat gembira kerana apabila saya tiba di Misano, sasaran saya hanya satu, tiga kemenangan dengan BMW. Dan saya melakukannya," kata Razgatlioglu.

"Selepas Perlumbaan 1, kami mengubah sesuatu pada jentera. Perasaan saya bertambah baik, terutama cengkaman di tayar depan. Saya berjaya memberikan lebih banyak tekanan di bahagian depan.

"Selepas lima atau lapan pusingan, semua orang mula menurun, tetapi saya dapat meneruskannya. Saya tahu selepas lima atau enam pusingan, saya akan kekal baik.

"Saya hanya kekal menunggang dengan tenang dan cuba untuk tidak melakukan kesilapan. Kami juga memahami yang cuaca panas terutama membabitkan tayar lebih memberikan manfaat kepada kami," katanya.

BMW setakat ini tidak pernah menjuarai gelaran dunia WorldSBK dengan cabaran Marco Melandri pada 2012 tidak kesampaian apabila pelumba Itali itu sekadar menamatkan saingan di kedudukan ketiga.

Selepas Misano, Pusingan 5 WSBK 2024 dijadual berlangsung di Donington Park, United Kingdom pada 12 hingga 14 Julai depan.