SEMUANYA Terkawal - Alex Marquez
Kemalangan ngeri itu berlaku apabila pelumba KTM, Pedro Acosta yang sedang memimpin perlumbaan tiba-tiba mengalami masalah teknikal dan kehilangan kuasa ketika memecut di laluan lurus, menyebabkan Alex Marquez di belakangnya gagal mengelak dan merempuh dengan kelajuan tinggi
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
5/18/20261 min read


PELUMBA pasukan Gresini Ducati, Alex Marquez terpaksa menjalani pembedahan segera susulan kecederaan patah tulang selangka kanan akibat kemalangan ngeri pada perlumbaan Grand Prix (GP) Catalunya, semalam.
Kenyataan rasmi Gresini Ducati menyebut, selain kecederaan tulang selangka yang memerlukan pembedahan segera, pelumba Sepanyol itu turut dikesan mengalami keretakan marginal pada tulang belakang (vertebra) C7.
"Kecederaan pada bahagian vertebra C7 itu akan dinilai dan dipantau dengan lebih teliti oleh pasukan perubatan dalam beberapa hari akan datang," kata pasukan itu.
Insiden menakutkan itu tercetus pada pusingan ke-12 daripada keseluruhan 24 pusingan perlumbaan dengan Alex, yang juga pemenang perlumbaan Sprint merempuh bahagian belakang jentera KTM yang ditunggang Pedro Acosta.
Rempuhan itu berlaku apabila Acosta yang sedang memimpin perlumbaan tiba-tiba mengalami masalah teknikal dan kehilangan kuasa ketika memecut di laluan lurus, menyebabkan Alex gagal mengelak.
Impak pelanggaran tersebut menyebabkan jentera GP26 milik Alex meliar di atas litar sebelum dia terhumban pada kelajuan tinggi. Pasukan perubatan bergegas memberikan rawatan kecemasan di tepi litar sebelum pelumba itu dikejarkan ke hospital untuk pemeriksaan imbasan terperinci.
Biarpun berdepan kecederaan yang agak serius, adik kepada juara dunia 9 kali, Marc Marquez itu tetap tampil menenangkan para peminatnya menerusi satu hantaran ringkas di laman media sosial peribadinya dari katil hospital.
"Semuanya terkawal!. Saya akan menjalani pembedahan malam ini, tetapi saya yakin saya berada di bawah penjagaan pakar yang terbaik," tulis Alex.
Pelumba berusia 30 tahun itu turut merakamkan penghargaan buat penyokongnya.

