SENNA Agius Sertai Tech3 KTM Lengkapkan Senarai 22 Pelumba MotoGP 2027
Pelumba Australia, Senna Agius bakal menjadi antara 5 muka baharu (rookie) yang akan beraksi dalam era baharu enjin 850 cc dan penggunaan tayar Pirelli, menyertai pelumba lain seperti David Alonso, Dani Holgado, Izan Guevara dan juara WorldSBK, Nicolo Bulega
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/16/20261 min read


PELUMBA Australia, Senna Agius secara rasmi diumumkan menyertai pasukan Tech3 KTM di pentas MotoGP 2027 sekali gus menyaksikan negaranya kekal mempunyai wakil di kelas elit itu.
Pelumba berusia 20 tahun itu akan melengkapkan barisan pelumba grid kelas perdana bagi musim 2027 dan akan bergandingan bersama Luca Marini.
Lebih menarik, Agius bakal menjadi antara 5 muka baharu (rookie) yang akan beraksi dalam era baharu enjin 850 cc dan penggunaan tayar Pirelli, menyertai pelumba lain seperti David Alonso, Dani Holgado, Izan Guevara dan juara WorldSBK, Nicolo Bulega.
Menyifatkan penyertaannya sebagai impian yang menjadi kenyataan, Agius merakamkan penghargaan kepada Pengurus Pasukan Tech3, Nicolas Goyon serta semua pihak, termasuk keluarga dan bekas juruteranya yang merealisasikan peluang keemasan itu.
"Segala usaha keras selama ini akhirnya membuahkan hasil. Saya sedar cabaran yang menanti, namun saya bersedia untuk belajar, bekerja keras dan mempamerkan versi terbaik diri saya bersama pasukan ini demi membalas kepercayaan mereka," katanya.
Sebagai rekod, Agius yang juga pemenang 4 perlumbaan Moto2 berjaya meraih petak pertama pada pusingan di Misano, Ahad lalu, namun nasib tidak menyebelahinya apabila dia dilanggar pada Selekoh 1.
Insiden itu memaksanya turun ke tangga ke-4 carta keseluruhan kejuaraan, berada di belakang rakan sepasukannya dari pasukan IntactGP, Manuel Gonzalez.
Sementara itu, Goyon menyifatkan Agius sudah membuktikan kelajuan dan mentaliti yang tepat sepanjang kariernya di Moto2 untuk menyahut cabaran baharu dalam kelas perdana yang bakal memperkenalkan peraturan serba baharu kelak.
"Bermula dengan peraturan dan jentera baharu adalah cabaran besar, namun ia membuka peluang untuk kita membina sesuatu dari awal. Agius masih muda, dahagakan ilmu, dan kami teruja untuk menggilap potensinya ke tahap lebih tinggi," kata Goyon.
Keputusan itu jelas melegakan peminat Australia selepas pelumbanya, Jack Miller sah meninggalkan kejuaraan itu untuk menyertai pentas WorldSBK musim depan.

