SERAHAN Pertama ZXMOTO 500RR Serentak Di 4 Negeri

Apa yang menarik, barisan pembeli terawal ini dijemput khas ke premis pengedar di 4 negeri - P.Pinang, Perak, Selangor dan Johor bagi majlis penyerahan kunci ZXMOTO 500RR masing-masing

TERKINI

10/11/20261 min read

ZXMOTO Malaysia mencipta sejarah tersendiri apabila menyempurnakan majlis penyerahan kumpulan pertama 'Sporbike' sensasinya, ZXMOTO 500RR secara serentak kepada pelanggannya di seluruh negara pada tarikh istimewa 10 Oktober 2026.

Apa yang menarik, barisan pembeli terawal ini dijemput khas ke premis pengedar di 4 negeri bagi majlis penyerahan kunci.

Paling istimewa pastinya adalah di MForce Smartshop Zi Yang Motor di Kepala Batas (Pulau Pinang) yang turut menyaksikan barisan pengurusan tertinggi MForce Bike selain TR Motorworld di Johor Bahru (Johor) Hoong Fatt di Ipoh (Perak) dan ICity Motorworld Shah Alam (Selangor).

Lebih membanggakan, penyerahan kumpulan pertama ini membabitkan unit pemasangan tempatan (CKD) yang dikeluarkan sepenuhnya dari kilang pemasangan utama MForce Bike di Pulau Pinang.

Sebagai rekod, ZXMOTO 500RR mula menjadi bualan peminat dua roda tempatan selepas pelancarannya pada bulan lalu berikutan reka bentuknya yang agresif serta penawaran spesifikasi tinggi pada tanda harga yang kompetitif.

Ulas trenkuasa, ZXMOTO 500RR dipadankan dengan enjin 470.2 cc, 4 Silinder Sebaris, 16 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC bersama transmisi 6 kelajuan klac manual lengkap klac 'slipper' dan turut memiliki ciri 'Quickshifter'.

Kuasa berada pada angka 84 Hp pada 13,500 rpm dan tork 46 Nm pada 11,500 rpm.

Selain tampil dengan rekaan cukup menarik dan garang, antara ciri yang menjadi tarikan kepada ZXMoto 500RR adalah penggunaan lengan ayun atau 'swingarm' pakai jenis 'single-sided' serta memiliki sistem 'Ram-Air'.

Turut mengujakan adalah ZXMoto 500RR dikatakan mampu dikerah sehingga kelajuan maksima sekitar 235 km/j dengan jarak 0-100 km/j sekitar 3.4 saat.

Turut menarik adalah ZXMoto 500RR dilengkapi pelbagai ciri elektronik menarik termasuk 6-Axis IMU yang mengawal Cornering ABS, TCS serta 4 mod tunggangan – Sport, Street, Beginner dan Custom.