SERTAI Ducati Lenovo, Apa Yang Marc Marquez Perlu 'Korbankan'?

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/21/20241 min read

MARC Marquez menegaskan yang sasarannya pada musim depan adalah beraksi bersama pasukan 'kilang' di MotoGP dengan destinasi utama adalah pasukan 'rasmi' Ducati Lenovo.

Marquez memang diketahui 'tak goyang' untuk meninggalkan kontrak berstatus mega dengan bukti paling dekat adalah ketika pelumba Sepanyol itu meninggalkan Repsol Honda musim lalu.

Dengan meninggalkan Repsol Honda untuk menyertai Gresini Ducati, juara dunia lapan kali itu turut kehilangan jutaan dolar dengan statusnya sebagai penerima gaji paling tinggi di MotoGP ketika itu.

Dan untuk menyertai Ducati Lenovo, juara dunia MotoGP enam kali itu dijangka terpaksa 'melepaskan' kontrak tejaan peribadi dan ironinya, ia cukup banyak dan lumayan.

Antara tajaan paling bernilai yang perlu dipertimbangkan oleh juara dunia lapan kali itu pastinya daripada syarikat minuman bertenaga Red Bull.

Berikut adalah senarai penaja yang mungkin terpaksa dilepaskan Marquez bagi menyertai Ducati Lenovo pada 2025 berikutan pertindihan portfolio, menurut laporan Motorsport.

Minuman tenaga

  • Ducati Lenovo - Monster

  • Marc Marquez - Red Bull

Teknologi

  • Ducati Lenovo - Lenovo

  • Marc Marquez - Samsung

Insuran

  • Ducati Lenovo - Unipol

  • Marc Marquez - Allianz

Cermin mata

  • Ducati Lenovo - Carrera

  • Marc Marquez - Oakley

Minuman keras

  • Ducati Lenovo - Contadi Castaldi

  • Marc Marquez - Estrella Galicia

Jika menjadi kenyataan, Marquez pastinya perlu membuat keputusan yang besar dari sudut ekonomi tetapi pelumba berusia 31 tahun itu pernah memberi bayangan itu bukan satu masalah.

"Dalam kehidupan, kadang kala, kamu perlu mengambil keputusan yang kamu tidak gemari atau tidak mahu memutuskannya," kata Marquez ketika ditanya potensi meninggalkan Red Bull untuk menyertai Ducati Lenovo.

"Kami semua berada di sini untuk menang, dan untuk melakukannya kami perlu mencari yang terbaik setiap masa. Kami perlu meletakkan segala-galanya dalam pertimbangan.

"Jika seseorang penunggang menamatkan kontraknya, dan juga kontrak 'kilang' walau apa pun, adalah bodoh untuk tidak melakukan sekurang-kurangnya perbincangan dengan mereka.

"Kamu perlu bercakap dengan semua orang, dan logiknya adalah perlu ada perbincangan."

Ducati ketika ini sedang 'pening kepala' untuk memilih sama ada Marquez, Jorge Martin atau Enea Bastianini bagi menjadi rakan sepasukan Francesco Bagnaia bagi musim 2025.

Dan keputusan itu dijangka akan dibuat ketika GP Itali di Mugello, yang dijadual pada penghujung bulan ini.