'SERTAI Ducati Lenovo Bukan Jaminan'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

12/15/20241 min read

MARC Marquez menegaskan kehadirannya di Ducati Lenovo tidak memberi jaminan yang kejuaraan dunia MotoGP musim depan akan menjadi miliknya.

Marquez melepaskan kontrak lumayan bersama Repsol Honda untuk menyertai pasukan satelit Ducati, Gresini Racing musim ini.

Dan juara dunia lapan kali itu tidak menunggu lama untuk 'memikat' pasukan 'kilang' Ducati Lenovo yang sanggup mengetepikan pelumba berbakatnya, Jorge Martin yang kemudian menjuarai gelaran dunia musim ini.

Situasi itu menyaksikan Marquez akan mendapat akses terhadap jentera terbaik di grid MotoGP buat pertama kali dalam tempoh lima tahun.

Marquez sebelum ini mencipta sensasi pada era pertangahan 2010-an apabila mendominasi kempen MotoGP dan kehadirannya di Ducati Lenovo memberinya peluang untuk mengulangi kejayaan sama.

Tetapi bagi Marquez yang sebelum ini pernah menyatakan dia tidak akan mendapat semula prestasi terbaiknya pada 2020 susulan kecederaan berkata ia tidak mudah terutama memiliki rakan sepasukan sebagus Francesco Bagnaia.

"Mereka kata dengan jentera rasmi Ducati saya akan meraih gelaran dunia," kata Marquez. "Kami berada di MotoGP, kejuaraan terbaik, di mana semua pelumba terbaik berada, di mana rakan sepasukan saya menang 11 perlumbaan pada tahun ini, yang boleh dikatakan banyak.

"Keutamaan adalah untuk melihat berapa banyak yang saya menang, tetapi dalam sukan, kamu perlu melihat kepada situasi semasa.

"Setiap tahun pelumba-pelumba muda juga tiba di sini."

Marquez sebelum ini menyatakan Bagnaia yang menamatkan kemarau gelaran dunia MotoGO Ducati selepas kali terakhir melakukannya pada 2007 bersama Casey Stoner berkata 'rujukan' adalah rakan sepasukannya itu.

Bagi Marquez, ia turut menjadi sesuatu yang baru buatnya selepas dia sering menjadi tumpuan dalam pasukan sebelum ini.