SHAFRIMAN Yakin Hakim Danish Mampu Isi Pentas Podium Sepang
Beraksi dengan status pelumba 'rookie', Hakim Danish yang juga pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets MSi melakar sensasi pada pertengahan musim termasuk mencipta sejarah merangkul kemenangan di Brno, Republik Czech sebelum prestasinya menurun
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/28/20261 min read


PRESTASI yang agak tidak menentu sejak kebelakangan ini tidak mengubah keyakinan Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif mengenai kemampuan pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli untuk berada di podium Grand Prix (GP) Malaysia 2026.
Beraksi dengan status pelumba 'rookie', pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets MSi itu melakar sensasi pada pertengahan musim apabila menamatkan perlumbaan di tempat ke-3 di Mugello, Itali sebelum mencipta sejarah merangkul kemenangan di Brno, Republik Czech, pada Julai lalu.
Kejayaan di Brno itu amat bermakna kerana ia adalah kali pertama pelumba Malaysia memenangi perlumbaan Moto3 sejak Khairul Idham Pawi melakukannya pada 2016.
Begitupun, prestasi semasa Hakim Danish tampak membimbangkan apabila pelumba kelahiran Terengganu itu hanya berjaya meraih 2 penamat di kedudukan 10 terbaik sejak kemenangan itu, dengan kali terakhir dicatatkan di Red Bull Ring, 4 pusingan yang lalu.
Ketika ditemui, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif menyedari tekanan yang sedang digalas oleh pelumba berusia 19 tahun itu, namun percaya dia akan bangkit memberikan aksi terbaik di halaman sendiri.
"Untuk Danish, kita tidak perlu memberikan tekanan tambahan kepadanya kerana dia sendiri sudah merasai tekanan itu," kata Shafriman. "Saya percaya semua pihak mengharapkan dia sekurang-kurangnya menamatkan perlumbaan di atas podium di sini.
"Malah, tiket untuk Tribune Hakim Danish juga sudah lama habis dijual. Jika anda mengikuti perkembangannya, anda pasti tahu dia mengalami pasang surut prestasi. Semuanya bergantung kepada persiapannya hujung minggu ini dan kekuatan mentalnya untuk mengendalikan perlumbaan di tempat sendiri."
Mengulas lanjut, Shafriman menegaskan bahawa kedudukan petak mula akan menjadi penentu utama hujung minggu ini.
"Kami mempunyai keyakinan penuh bahawa dia akan berada di podium. Namun, jika dia sudah melakukan yang terbaik, kita semua tetap akan berbangga dengannya tanpa mengira apa jua keputusan pada hari Ahad ini," katanya.
Sementara itu, saingan hujung minggu ini turut akan diserikan dengan penampilan pelumba muda negara iaitu Qayyim Razin Razali, Naqib Rifqi Zulhelmi dan Qabil Irfan Azlan yang akan beraksi dalam saingan Pusingan 5 Moto4 Asia Cup.

