SIAPA Pelumba Repsol Honda MotoGP Diketahui Sebelum, Di GP Malaysia?
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/31/20231 min read
SUSULAN 'kecoh' yang dicetuskan juara dunia MotoGP enam kali, Marc Marquez, pasukan Repsol Honda ketika ini sedang 'pening kepala' untuk mencari pengganti berkaliber bagi musim depan.
Setakat ini, tiada pengumuman dibuat pasukan itu dengan antara calon yang hangat ketika ini adalah pelumba Gresini Ducati yang sudah 'disingkirkan', Fabio di Giannantonio.
Di Giannantonio menjadi antara calon pengganti Marquez selepas pelumba Itali itu mempamerkan aksi cemerlang di Grand Prix (GP) Australia 2023 dan ia disahkan sendiri Pengurus HRC (Honda Racing Corporation), Alberto Puig.
Begitupun, Puig turut menjelaskan dia bukan satu-satunya pilihan yang dimiliki oleh HRC.
Memetik laporan Crash.net, Di Giannantonio berkata dia berkemungkinan akan mengumumkan perancangannya bagi musim 2024 di GP Malaysia 2023 di Sepang.
"Sudah tentu kami sedang bekerja keras dan saya juga berharap dapat memberi kamu berita yang baik," kata Di Giannantonio.
"Tetapi saya fikir yang sesuatu yang amat, amat bagus akan tiba. Jadi, saya tidak terburu-buru ketika ini.
"Saya mahu menikmati cuti pada minggu ini, bekerja dengan staf saya di kediaman saya sebagai persediaan masa depan saya, dan selepas itu kita akan lihat. Mungkin saya boleh memberitahu kamu sesuatu di Malaysia."
Selain Di Giannantonio, beberapa pelumba turut dikaitkan dengan HRC antaranya Johann Zarco, Miguel Oliveira, Maverick Vinales dan Aleix Espargaro namun kesemuanya sudah mempunyai kontrak pada 2024 selain tanpak kurang berminat.
Di Giannantonio yang menamatkan perlumbaan GP Thailand di tangga ke-9 ketika ini menghuni tangga ke-12 kedudukan carta pelumba MotoGP 2023.