SIASATAN Terperinci Kes Kemalangan Izzat Zaidi Di Cub Prix Sudah Dimulakan - MAM

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/10/20231 min read

BADAN induk sukan permotoran Malaysia, MAM menjelaskan siasatan lebih terperinci mengenai kemalangan ngeri membabitkan pelumba, Mohd Izzat Zaidi ketika Pusingan 8 Kejuaraan Petronas Malaysia Cub Prix 2023 di Bandar Medini Iskandar Puteri, Johor sudah pun dimulakan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, MAM (Persatuan Sukan Bermotor Malaysia) berkata persatuan itu sudah bekerjasama dengan aktif dengan penganjur perlumbaan Cub Prix (Safe Aim Mutual Sdn Bhd) dan pihak berkuasa berkaitan untuk memberi sokongan dan bantuan yang diperlukan.

Pelumba pasukan Yamaha CKJ Racing, Izzat pada Sabtu lalu terlibat dalam kemalangan ketika sesi Superpole.

Melihat kepada rakaman video yang tular, Izzat yang menunggang jentera Yamaha seperti terlanggar sebuah objek sebelum hilang kawalan dan merempuh pagar besi keselamatan di tepi litar.

Susulan kemalangan ngeri itu, Izzat dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan disahkan mengalami patah tulang rusuk kiri dan pendarahan pada bahagian paru-paru dan sedang menjalani rawatan.

"Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) dimaklumkan mengenai kejadian membabitkan Mohd Izzat Zaidi, berlumba dengan motosikal #98. Insiden perlumbaan ini berlaku pada jam 12.07 pada 7 Oktober 2023, semasa sesi Superpole CP150 di Pusingan 8 Kejuaraan Petronas Malaysia Cub Prix.

"Tindakan segera telah diambil dan ditangani di tempat kejadian oleh pasukan kecemasan dan perubatan. Izzat segera dibawa ke pusat perubatan dan segera dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah untuk rawatan perubatan yang diperlukan.

"Sejak kemalangan itu, MAM telah bekerjasama secara aktif dengan penganjur kejohanan ini bersama pihak berkuasa yang berkaitan untuk memberi sebarang sokongan dan bantuan yang diperlukan. Tambahan pula, siasatan yang lebih terperinci mengenai insiden perlumbaan telah pun dimulakan," tulis kenyataan MAM itu.

MAM dalam pada itu berharapkan seluruh komuniti sukan permotoran bersatu mendoakan agar Izzat segera sembuh.