SIC Kini Dikenali PETRONAS Sepang International Circuit

TERKINI

10/31/20231 min read

Sepang International Circuit (SIC) mengumumkan perjanjian kerjasama strategik tiga tahun dengan syarikat petroleum gergasi negara, PETRONAS yang menyaksikan litar kebangaan negara itu dijenama semula sebagai PETRONAS Sepang International Circuit.

Kerjasama membabitkan hak penjenamaan semula itu adalah yang pertama dalam sejarah penubuhan SIC sejak pembukaan litar itu 24 tahun lalu pada 1999.

Dalam satu kenyataan bersama, SIC dan PETRONAS berkata kerjasama antara kedua-dua entiti itu mewakili visi yang sama iaitu komitmen terhadap kecemerlangan, inovasi dan memberikan pengalaman luar biasa kepada peminat tempatan dan antarabangsa, dengan matlamat meningkatkan lagi reputasi Malaysia sebagai destinasi sukan dan hiburan.

Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata: "Saya amat berbesar hati kepada PETRONAS kerana mempercayai visi kami dan menyertai kami dalam kerjasama baharu ini.

"Saya percaya yang kerjasama ini adakan memberi lebih impak kepada landskap sukan permotoran dan lebih banyak jenama akan mengambil kesempatan daripada nilai tambah ini untuk perniagaan dan pelanggan mereka melalui perkongsian antara SIC dan PETRONAS.

"Sebagai salah satu daripada peneraju dalam sukan permotoran menerusi pembabitan dalam Formula 1 dan MotoGP, ini sepatutnya membuka lebih banyak pintu kepada peluang untuk menganjurkan lebih banyak acara berkelas dunia di venue kita yang berkelas dunia," katanya.

Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS, Datin Anita Azrina Abdul Aziz berkata pihaknya amat berbesar hati dengan kerjasama berkenaan yang dilihat sebagai satu pelaburan yang mencerminkan kemuncak hubungan panjang PETRONAS dan SIC serta menunjukkan komitmen syarikat itu dalam menyokong pertumbuhan dan pembangunan industri sukan dan hiburan di Malaysia dan antarabangsa.

"Kerjasama ini bukan sekadar hak penjenamaan, ia melambangkan dedikasi kami dalam mempromosikan acara-acara bertaraf dunia, menggalakkan perkembangan bakat dan menonjolkan keupayaan Malaysia di pentas global."