SIC Komited Pastikan MotoGP Kekal Di Malaysia!
SIC menegaskan komitmen mereka adalah untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS), pemegang hak MotoGP, Dorna Sports S.L serta pihak berkepentingan lain bagi memastikan acara antarabangsa paling lama dianjurkan di negara ini, Grand Prix Malaysia terus kekal
TERKINI
8/21/20251 min read


SEBAGAI 'tuan rumah', Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (SIC) menegaskan komitmen penuhnya untuk memastikan penganjuran Grand Prix (GP) MotoGP Malaysia kekal di negara ini sekali gus meletakkannya sebagai keutamaan berbanding spekulasi untuk membawa kembali perlumbaan Formula Satu (F1).
Menerusi satu kenyataan media, SIC menjelaskan kekeliruan yang timbul daripada kenyataan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azhan Shafriman Hanif, baru-baru ini dan berkata bahawa fokus utama mereka adalah mengenai usaha memperbaharui kontrak penganjuran MotoGP yang akan tamat pada 2026.
Sebelum ini, Azhan Shafriman dilaporkan mengakui keputusan melepaskan hak penganjuran F1 sebagai satu kesilapan namun SIC berkata konteks sebenar kenyataan itu adalah merujuk kepada cabaran untuk mengekalkan acara berprestij seperti MotoGP, dan bukannya hasrat membawa F1 kembali.
"Sekalipun Formula 1 kekal menjadi sebahagian besar daripada sejarah kami, mendapatkan semula hak penganjurannya terbukti rumit dan memakan kos yang tinggi," tulis kenyataan itu.
"Keutamaan utama adalah melindungi hak penganjurkan MotoGP di Malaysia, yang terus mendapat sambutan hangat daripada peminat Malaysia dan kekal lebih mudah diakses dari sudut penonton dan penganjuran."
SIC berkata, komitmen mereka adalah untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS), pemegang hak MotoGP, Dorna Sports S.L serta pihak berkepentingan lain bagi memastikan acara antarabangsa paling lama dianjurkan di Malaysia itu terus kekal.
Dan bagi menyokong usaha itu, SIC akan terus menyediakan data dan analisis komprehensif mengenai impak ekonomi, pelancongan dan pembangunan untuk membantu proses membuat keputusan mengenai masa depan perlumbaan itu di Malaysia.
"Kami menghargai semangat yang ditunjukkan oleh orang ramai dan mengesahkan komitmen kami untuk menjamin masa depan MotoGP di Malaysia demi manfaat peminat, rakan kongsi, dan negara," akhiri kenyataan itu.
