SIC Mungkin Rombal Jadual Persiapan Hadapi F1 GP Bahrain
Antara perlumbaan utama yang dijangka terpaksa dijadual semula berikutan penganjuran F1 di Sepang adalah Pusingan 5 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) yang dijadual berlangsung pada 11 hingga 13 September ini selain Siri Super Thailand dari 18 hingga 20 September
TERKINI
7/29/20261 min read


PENGANJURAN perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Bahrain 2026 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2 hingga 4 Oktober ini menyaksikan beberapa perlumbaan yang dijadual lebih awal berkemungkinan terpaksa ditangguhkan.
Antara perlumbaan utama yang dijangka terpaksa dijadual semula adalah Pusingan 5 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) yang dijadual berlangsung di SIC pada 11 hingga 13 September ini selain Siri Super Thailand dari 18 hingga 20 September.
SIC menerusi Ketua Pegawai Eksekutif Azhan Shafriman Hanif menjelaskan pihaknya memerlukan tempoh penutupan yang lebih panjang untuk F1 berbanding MotoGP bagi membolehkan kerja-kerja persediaan dilaksanakan mengikut piawaian ditetapkan.
Sebagai perbandingan, untuk penganjuran perlumbaan MotoGP, litar hanya ditutup kira-kira 10 hari sebelum perlumbaan.
Shafriman begitupun berkata pihaknya cuba untuk meminimumkan penutupan litar kerana tempahan yang dibuat dilakukan sebelum pengesahan F1 di Malaysia.
Menurutnya, pihak SIC akan mengadakan perbincangan dengan pelanggan sedia ada sama ada mahu anjakkan tarikh atau mekanisma terbaik kerana ia turut menjejaskan keseluruhan kalendar perlumbaan berkenaan.
Seperti diketahui, F1 sah kembali ke Malaysia tetapi sebagai tuan rumah kepada GP Bahrain selepas persetujuan dicapai antara F1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta Kerajaan Malaysia dan Bahrain.
GP Bahrain tidak dapat berlangsung di negara asal berikutan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

