SIC PETRONAS Mahu 200k Rekod Kehadiran GP Malaysia, Tiket 'Rahmah' Kembali!
Jika angka 200,000 berjaya dicapai, GP Malaysia 2025 akan mengatasi rekod kehadiran teramai penonton yang dicatatkan pada tahun lalu iaitu seramai 184,923 orang penonton ke litar
PELANCARAN
8/12/20251 min read


ANGKA 200,000 kehadiran penonton selama tiga hari disasarkan Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (SIC) bagi penganjuran perlumbaan MotoGP Grand Prix (GP) Malaysia PETRONAS 2025 yang berlangsung dari 24 hingga 26 Oktober ini.
Jika jumlah itu berjaya dicapai, ia akan mengatasi rekod kehadiran teramai penonton pada tahun lalu iaitu seramai 184,923 orang.
Apa yang menarik, berbaki beberapa bulan penganjurannya, bos SIC PETRONAS berkata 75 peratus kapasiti penonton sudah dicapai.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC PETRONAS, Azhan Shafriman Hanif ketika majlis pelancaran GP Malaysia di sini, hari ini berkata jualan tiket setakat ini memberangsangkan serta pelbagai tarikan baharu yang diperkenalkan untuk edisi kali ini.
"Kapasiti kehadiran penonton sudah mencapai 75 peratus. Sasaran 200,000 penonton ini kami akui agak tinggi, tetapi dengan sokongan semua pihak, kami yakin ia boleh dicapai," kata Shafriman.
Bagi merancakkan lagi jualan tiket, SIC PETRONAS turut melancarkan promosi khas Tiket Rahmah di kawasan tempat duduk K2 pada harga RM 49.90.
Melalui promosi istimewa ini, pembeli akan menerima satu tiket percuma dengan setiap pembelian tiket (beli satu, percuma satu).
Begitupun, tawaran ini hanya sah untuk tempoh 24 jam sahaja, bermula jam 8 malam ini dan akan berakhir pada jam 8 malam esok.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memuji inisiatif daripada SIC itu dan meluahkan keyakinan bahawa sasaran kehadiran penonton itu mampu direalisasikan dengan adanya sokongan semua pihak.
"Saya percaya sasaran itu boleh dicapai dengan bantuan dan kerjasama padu daripada semua pihak, termasuk agensi-agensi kerajaan," katanya.
Selain itu, SIC PETRONAS turut memperkenalkan satu inisiatif dengan RM1 daripada setiap jualan tiket akan disalurkan kepada Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) bagi menyokong pembangunan atlet negara.
Untuk menarik lebih ramai peminat sukan permotoran dan pengunjung baharu, SIC PETRONAS turut memperkenalkan beberapa penambahbaikan menarik termasuk penganjuran festival muzik ‘electronic dance music’ (EDM) buat julung kalinya pada 18 dan 19 Oktober, iaitu seminggu sebelum perlumbaan berlangsung.
