SILVERSTONE Serasi Dengan Aprilia RS-GP, Aleix Espargaro Nak Ulang Kejayaan 2023!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/1/20241 min read

ALEIX Espargaro meraih kemenangan Silverstone musim lalu yang sekaligus meletakkan Aprilia sebagai pencabar utama kepada Ducati dan kejayaan itu diharap mampu diulang minggu ini.

Espargaro disahkan cergas kembali ke litar di GP Britain selepas terlepas dua pusingan perlumbaan MotoGP berturut-turut di Belanda dan Jerman susulan kecederaan tangan yang dihadapinya.

Tahun lalu, Espargaro merangkul kemenangan yang dianggap terbaik dalam kariernya selepas menewaskan juara dunia, Francesco Bagnaia di pusingan terakhir sekalipun memulakan perlumbaan di petak ke-6.

"Ia adalah litar yang saya amat gemari, bukan saja kerana kemenangan tahun lalu, tetapi ia juga adalah satu detik bersejarah sejak saya menyertai Aprilia, bersama dengan podium pertama kami pada 2021," kata Espargaro yang mengumumkan persaraannya sejurus musim ini berakhir.

"Silverstone amat serasi dengan RS-GP, ia juga serasi dengan saya, dan sasarannya adalah untuk mengulangi keputusan 2023.

"Tahun lalu, jentera-jentera Aprilia sentiasa berada di depan. Kami berharap untuk melakukan dengan baik tahun ini, pasukan di Noale bekerja dengan amat keras sepanjang cuti musim panas untuk menambah baik jentera."

Selain kemenangan Espargaro, Aprilia turut meraih podium musim lalu di Silverstone apabila seorang lagi pelumba pasukan itu, Maverick Vinales menamatkan Perlumbaan Sprint di kedudukan ke-3.

Malah pada musim 2022, Vinales turut menamatkan perlumbaan sebagai naib juara dan pernah menjuarainya pada 2016 bersama jentera Suzuki.