SITUASI 'Hujan Lebat', Rombakan Jadual Di GP Australia 2023 Mungkin Berulang? SIC Dah Sedia

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/10/20231 min read

JIKA berdasarkan ramalan cuaca, ada peluang untuk Grand Prix (GP) Malaysia 2023 berdepan situasi yang sama dengan GP Australia 2023 yang menyaksikan jadual perlumbaan mengalami rombakan susulan ramalan cuaca.

Sedar dengan situasi berkenaan, Petronas Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebagai tuan rumah menjelaskan mereka sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan - termasuk perubahan jadual perlumbaan yang memberi sedikit 'kekecohan' di Phillip Island sebelum ini.

Berdasarkan ramalan cuaca selama tiga hari, bermula hari ini (Jumaat), GP Malaysia 2023 diramalkan berlangsung dalam keadaan hujan dan berkemungkinan lebat.

Mengulas situasi berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif pihaknya sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan tetapi ia masih perlu ditentukan oleh pengelola yang juga pemegang hak eksklusif MotoGP, Dorna Sports.

"Jika melihat kepada ramalan cuaca, memang akan berlaku hujan tetapi seperti biasa ramalan ni, kadang ia tak berlaku. Jadi berkenaan perubahan jadual, ada kemungkinan tetapi kita biar pihak berkenaan yang menentukan.

"Apa yang penting adalah keselamatan pelumba itu sendiri. Kalau hujan terlalu lebat dan permukaan trek tidak selamat, mungkin pengarah perlumbaan perlu membuat keputusan."

Di Australia, keputusan meminda jadual perlumbaan utama untuk dilangsungkan pada Sabtu diumumkan sehari lebih awal sebelum Perlumbaan Sprint iaitu pada Jumaat.

Dan keputusan itu nampak tepat apabila hujan ribut sememangnya melanda Phillip Island pada Ahad yang menyaksikan Perlumbaan Sprint dibatalkan berikutan risiko tinggi kepada pelumba.

Setakat berita ini ditulis, tiada pengumuman mengejut daripada Dorna dengan jadual perlumbaan GP Malaysia 2023 kekal seperti biasa.