SITUASI Saya Dan Jorge Martin Tak Sama - Marc Marquez
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/5/20251 min read


JORGE Martin sudah pasti mempunyai alasan tersendiri mengapa dia berhasrat meninggalkan Aprilia, kata Marc Marquez yang menambah situasinya dan penyandang juara dunia MotoGP itu tidak sama.
Marrquez ketika ditemui dalam satu majlis di Barcelona membabitkan Ducati berkata: "Saya sedar dengan apa yang berlaku dalam dunia MotoGP dan apabila saya membaca berita mengenai Jorge Martin, ya, dia mempunyai alasannya tersendiri.
"Jadi selain itu, ayuh berharap dia dapat pulih dengan secepat yang mungkin dan kembali di litar dengan pantas," kata Marquez memetik laporan AS.
Juara dunia lapan kali itu sebelum ini turut menjelaskan perbezaannya dengan rakan senegaranya dari Sepanyol itu.
"Saya fikir situasi saya (dengan Martin) sesuatu yang berbeza.
"Pertama sekali, kerana saya mengharungi tempoh empat tahun dengan pelbagai kecederan. Perkara kedua, saya memberikan segala-galanya, atau mencapainya, kerana pada akhirnya kami adalah satu pasukan.
"Kami mencapai kejayaan iaitu 6 gelaran dunia bersama Honda."
Marquez seperti diketahui menamatkan kontrak lumayannya bersama Honda lebih awal untuk menyertai Gresini Ducati pada musim 2024.
Dan tindakan itu jelas berjaya apabila dia kemudian berjaya menyertai pasukan 'kilang', Ducati Lenovo dengan mengetepikan Martin yang berjaya menjuarai gelaran dunia pada musim sama.
Selain Marquez, beberapa lagi pelumba antaranya Cal Crutchlow, Johann Zarco, Maverick Vinales dan Jorge Lorenzo turut menamatkan kontrak mereka lebih awal.
Martin sebelum ini mengesahkan laporan yang menyatakan dia berhasrat untuk meninggalkan Aprilia menggunakan terma dalam klausa kontraknya.
