'SITUASI Saya Tak Sama Dengan Marc Marquez'
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
12/20/20241 min read


PELUMBA Repsol Honda, Joan Mir berkata adalah tidak adil untuk membandingkan dirinya bersama bekas rakan sepasukannya, Marc Marquez.
Marquez yang menjulang enam gelaran dunia MotoGP bersama Honda bertindak meninggalkan pengeluar Jepun itu pada penghujung musim 2023 untuk menyertai Gresini Ducati.
Mir yang juga juara dunia MotoGP musim 2020 bersama Suzuki dalam pada itu kekal untuk musim keduanya bersama Honda dan sekali lagi mengharungi kempen mengecewakan pada musim ini apabila sekadar mengumpul keseluruhan 21 mata.
Sebagai perbandingan, jumlah itu lebih sedikit daripada apa yang dikumpul tiga pelumba, Francesco Bagnaia (31 mata), Brad Binder (29 mata) dan Jorge Martin (28 mata) dalam pusingan pembukaan di Qatar.
Sebelum membuat keputusan melanjutkan kontraknya di Honda pada tahun ini sehingga musim 2026, Mir tampak cukup lantang sebelum kemudian menjelaskan mengapa dia tidak membuat keputusan yang sama seperti Marquez.
"Sudah tentu, situasi saya benar-benar berbeza berbanding Marc apabila dia keluar (daripada Honda), kerana dia membuktikan segala-galanya bersama mereka. Manakala saya, saya tidak membuktikan apa-apa ketika ini," kata Mir memetik laporan Crash.net.
"Bagi saya, jika saya mengubah pengeluar sekarang, saya akan bermula dengan kosong sekali lagi dan saya rasakan yang dua tahun yang saya harungi (bersama Hodna) sebagai sia-sia.
"Dan jumlah kegembiraan yang saya peroleh di Honda juga besar. Jadi saya akan cuba untuk melakukannya."
Ketiadaan Marquez menyaksikan Mir berpindah kotak garaj untuk bekerjasama dengan bekas ketua krew juara dunia lapan kali itu Santi Hernandez tahun ini.
Tetapi berdasarkan keputusan, tiada apa yang boleh benar-benar dibanggakan oleh Mir dengan keputusan terbaiknya dalam perlumbaan Sprint adalah di tempat ke-9 dan ke-11 pada perlumbaan Grand Prix.
Marquez dalam pada itu cukup cemerlang bersama Gresini Ducati apabila menjuarai tiga perlumbaan Grand Prix malah turut melengakapkan perpindahan ke pasukan utama Ducati Lenovo bagi musim 2025.
