SKUTER Elektrik Gaya Retro, Yadea RS20 (2025) Dilancarkan, Asas RM 4,998!

Di sebalik penampilannya yang klasik gaya skuter dari jenama Itali, Yadea RS20 tetap tampil dengan ciri-ciri moden yang dikatakan Yadea Malaysia menggabungkan gaya, prestasi dan kemudahan untuk kegunaan harian

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/17/20252 min read

Yadea RS20 (2025)
Yadea RS20 (2025)

PENERAJU jualan motosikal dan skuter elektrik di Malaysia, MForce Bike Holdings Sdn Bhd meningkatkan penawarannya di pasaran tempatan dengan melancarkan skuter bergaya 'retro' menarik, Yadea RS20 (2025), hari ini.

Di sebalik penampilannya yang klasik gaya skuter dari jenama Itali, Yadea RS20 tetap tampil dengan ciri-ciri moden yang dikatakan Yadea Malaysia menggabungkan gaya, prestasi dan kemudahan untuk kegunaan harian.

Lebih menarik, harga yang diumumkan, RM 4,998 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans) adalah harga yang belum ditolak rebat inisiatif MARiiCas.

Tiga pilihan warna menarik tersedia iaitu Khaki Grey, Roman Grey dan Grey

Memacu skuter ini adalah motor elektrik berkuasa 2,450W dan menggunakan bateri jenis Graphene 72V22Ah yang mampu dicas dari 0 peratuas hingga 80 peratus dalam masa 6 jam, manakala pengecasan penuh 0 peratus ke 100 peratus mengambil masa 8 jam.

Dengan pengecasan penuh, Yadea RS20 yang memiliki tork 107 Nm mampu mencapai jarak tunggangan sehingga 105 km dengan kelajuan maksimum 51 km/j.

Dari sudut dimensi, Yadea RS20 mirip skuter konvensional dengan ukuran 1,820 mm (panjang), lebar 666 mm, tinggi 1,130-1,290 mm tinggi,jarak atara roda 1,298 mm, lega bumi 180 mm dengan ketinggian tempat duduk 765 mm.

Sistem suspensi hadapan menggunakan fork teleskopik, manakala bahagian belakang menggunakan penyerap hentak berkembar. Sistem brek pula terdiri daripada brek cakera (depan) dan brek dram (belakang) lengkap dengan sistem COMBI.

Antara ciri pintar adalah Yadea RS20 boleh dipadankan dengan mengimbas kod QR unik melalui aplikasi YADEA App (tersedia untuk iOS dan Android). Selepas dipadankan, anda boleh membuka kunci motosikal terus melalui telefon pintar.

Begitupun, ia masih menyokong tiga kaedah membuka kunci (kunci mekanikal, kawalan jauh dan aplikasi YADEA).

Turut menarik adalah skuter ini memiliki ciri seperti gear undur, dua mod tunggangan, ‘S’ (Sport) dan ‘E’ (Eco), rak belakang, suis keselamatan side stand dan sistem kemasukan kunci mekanikal.

  • Sistem lampu LED penuh

  • Panel meter digital lengkap sambungan aplikasi Yadea untuk kemudahan pintar

  • Port pengecasan USB Type-A

  • Ruang simpanan depan

  • Ruang simpanan bawah tempat pelana

  • 72 kg tanpa bateri

  • Set roda 90/80-12 (depan), 90/80-12 (belakang) jenis tanpa tiub

  • Sudut mendaki 13 darjah

  • Berat 114 kg (termasuk bateri)

Setiap pembelian YADEA RS20, pembeli boleh menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (yang mana tiba dahulu) tertakluk kepada terma dan syarat.

Pembeli juga boleh menikmati pembelian alat ganti tulen atas talian oleh Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd.