Skuter Elektrik Unik BMW CE02 (2024) Bakal Dilancar Di Malaysia?

TERKINI

3/25/20241 min read

BMW Motorrad Malaysia dikhabarkan akan menambah penawaran dalam segmen skuter elektriknya di pasaran tempatan dengan membawa masuk BMW CE02 (2024).

Apa yang lebih menarik, skuter yang tampil dengan rekaan cukup unik itu, menurut laporan Paultan.org berdasarkan sumber dikatakan akan 'mendarat' sekitar penghujung April atau awal Mei depan.

Dan turut diumumkan adalah anggaran harganya iaitu sekitar RM 40k.

Tahun lalu, BMW Motorrad Malaysia secara rasmi membawa masuk skuter elektrik BMW CE04 (2023) dan diumumkan pada harga jualan RM 59,500 (asas).

Mengulas ringkas mengenai BMW E02 (2024), disasarkan untuk penggunaan bandar, ia membuat debut globalnya pada Julai tahun lalu dan dilabel BMW Motorrad sebagai 'eParkourer'.

Dari sudut kuasa, ia dipadankan dengan motor elektrik yang memiliki kuasa bersamaan 15 Hp dengan pek bateri turut menawarkan pengecas pantas 1.5 kW untuk varian teratas Highline.

Mempunyai dua mod tunggangan 'Flow' dan 'Surf', varian Highline turut mendapat tambahan satu lagi mod iaitu 'Flash.' Dengan kelajuan tertinggi 95 km/j, BMW CE02 menurut BMW Motorrad memiliki jarak jalan 90 km.

Sistem bantuan tunggangan elektronik yang dipadankan termasuklah 'Automatic Stability Control' (ASC), 'Recuperative Stability Control' (RSC) serta sistem Bantuan Mengundur.

Informasi lain termasuklah berat 132 kg, ketinggian pelana 750 mm, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Kunci Pintar dan port pengecas USB-C