SKUTER Elektrik United E-Motor Diperkenal Di Malaysia, 2 Model, Harga Masih Rahsia!

TERKINI

10/31/20231 min read

SEGMEN skuter elektrik di Malaysia 'dimeriahkan' dengan kehadiran pendatang baharu, United E-Motor yang tercetus hasil kerjasama dua syarikat, Artroniq Bhd dan PT Terang Dunia Internusa (PT TDI).

Dalam sesi pengenalan jenama berkenaan, dua model dipamerkan iaitu United E-Motor TX1800 dan TX3000.

Sebagai info, Artroniq Bhd adalah syarikat yang disenarai dalam Bursa Malaysia manakala PT TDI adalah antara pengeluar motosikal elektrik utama di negara jiran Indonesia.

Untuk United E-Motor TX1800, ia dipadankan dengan motor elektrik berkuasa 2,000W yang dikuasakan bateri lithium 60V 28Ah (1 Unit). Kuasa yang dihasilkan skuter elektrik ini 2.68 Hp dan tork 106 Nm

Informasi lain adalah seperti berikut:

• Pengecasan 0-80 peratus: 1.5 jam

• Jarak perjalanan cas penuh: 65 km

• Kelajuan 0-100 meter: 10.2 saat

• Kelajuan maksimum: 75 km/j

• 3 tahap kelajuan

Ciri-ciri menarik: Lampu LED depan belakang, penel meter digital, Bluetooth, Sistem Kunci Pintar.

Sementara itu, United E-Motor TX3000 dipadankan dengan motor elektrik berkuasa 4,200W yang dijana bateri lithium 60V 28Ah (2 Unit). Kuasa yang dihasilkan adalah 5.63 Hp dengan tork 145 Nm.

Informasi lain adalah seperti berikut:

• Pengecasan 0-80 peratus: 4 jam

• Jarak perjalanan cas penuh: 120 km

• Kelajuan 0-100 meter: 8.85 saat

• Kelajuan maksimum: 90 km/j

• Tiga tahap kelajuan

Ciri-ciri menarik: Lampu LED depan belakang, penel meter digital, Bluetooth, Sistem Kunci Pintar.

Fasiliti pemasangan skuter United E-Motor milik Artroniq terletak di Batu Kawan, Pulau Pinang dan syarikat itu menyasarkan untuk mengeluarkan 2,000 unit pada tahun 2024.

Selain itu, Artroniq dijadual membuka kedai konsep di tiga bandaraya utama Malaysia - Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru yang sekali gus memperkasakan jejak dan kebolehcapaiannya.

Menurut syarikat itu, setiap pembelian akan ditawarkan jaminan pengeluar selama 1 tahun dengan jaminan bateri selama tiga tahun. Selain itu, setiap pembelian turut menerima pakej servis percuma selama setahun.

Sedikit mengecewakan, tiada pendedahan mengenai tanda harga dilakukan untuk kedua-dua model dengan ia dijadual diumumkan pada Disember depan.