SKUTER Elektrik Yadea E8S PRO (2023) Kini Rasmi Di Malaysia, Asas RM 6k!

PELANCARAN

10/20/20231 min read

SELEPAS sekian lama menunggu, MForce Bike Holdings Sdn Bhd (MForce), syarikat pengimport dan pengedar eksklusif jenama motosikal/skuter elektrik Yadea di Malaysia akhirnya merasmikan salah satu modelnya untuk pasaran tempatan, Yadea E8S PRO (2023).

Sebagai info, jenama Yadea sudah pun dipertontonkan kepada umum ketika acara Malaysia Autoshow 2023 pada Mei lalu yang turut menyaksikan perjanjian di antara kedua-dua syarikat berlangsung.

Dan seperti yang dijanjikan oleh MForce membabitkan harga, Yadea E8S PRO (2023) ditawarkan pada harga yang cukup menarik RM 5,999 (tidak termasuk kos pendaftaran, insurans dan cukai jalan).

Menurut MForce, pelancaran Yadea E8S PRO (2023) juga sebagai menyokong penuh usaha kerajaan yang memperkenalkan inisiatif Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik dalam Belanjawan 2024, baru-baru ini.

Menerusi inisiatif itu, setiap pembelian akan menerima rebat tunai RM 2,400 (Pembeli berpendapatan tahunan RM 120,000 ke bawah).

Mengulas spesifikasi Yadea E8S Pro (2023), skuter yang dipadankan dengan teknologi canggih TTFAR yang menawarkan penggunaan tenaga efisen ini dipadankan dengan pek bateri Graphene berkapasiti 72 volt dan 38Ah.

Ia digerakkan menerusi motor elektrik 2000W yang menghasilkan tork sekitar 140 Nm dipacu dengan tali sawat untuk menghantar kuasa ke roda belakang.

Sebagai skuter yang dianggap ideal untuk tunggangan bandar dengan jarak perjalanan tak begitu jauh, dua mod tunggangan tersedia iaitu Eco dan Sport.

Ciri-ciri lain termasuklah sistem lampu LED, panel meter digital, brek cakera depan dan belakang, ruang simpanan berkapasiti 32 liter dan ketinggian pelana 740 mm.

Tiga pilihan warna menarik ditawarkan iaitu Space Gray, Matte Sea Blue dan Black.

Ketua Pegawai Operasi (COO) MForce, Asri Ahmad berkata pihaknya komited untuk memacu pembangunan industri EV tempatan serta menggalakkan lagi penerimaan orang ramai terhadap penggunaan mobiliti elektrik di Malaysia.

Menurut MForce, Yadea E8S PRO (2023) akan mula tiba di cawangan pengedar sah MForce terpilih di seluruh negara dalam tempoh terdekat.