SKUTER Elektrik Yamaha Yamaha Aerox E Lancar Di India, Harga Kayangan!
Aerox E berkongsi hampir keseluruhan panel badan dengan versi petrol termasuk rekaan lampu depan diod pancaran cahaya (LED) berkembar, bentuk tempat duduk tunggal serta mengekalkan bonggol 'tulang belakang' ikoniknya di bahagian tengah
TERKINI
7/14/20261 min read


PENGELUAR motosikal gergasi Jepun, Yamaha melancarkan skuter elektrik Yamaha Aerox E untuk pasaran India, model versi elektrik bagi model skuter bergaya 'Sporty' popular Yamaha Aerox 155, atau lebih dikenali sebagai Yamaha NVX di Malaysia.
Tampil sebagai produk premium, Yamaha Aerox E ditawarkan pada tanda harga Rs 2.82 Lakh (sekitar RM 14,800), hampir dua kali ganda lebih mahal berbanding versi standard model menggunakan petrol.
Aerox E berkongsi hampir keseluruhan panel badan dengan versi petrol termasuk rekaan lampu depan diod pancaran cahaya (LED) berkembar, bentuk tempat duduk tunggal serta mengekalkan bonggol 'tulang belakang' ikoniknya di bahagian tengah.
Tetapi sebagai nilai tambah bagi menjustifikasikan harganya, varian elektrik ini dinaik taraf dengan lampu isyarat belok LED, brek cakera belakang dan panel instrumen TFT digital sepenuhnya yang menyokong fungsi navigasi, kawalan muzik serta notifikasi aplikasi pintar.
Ulas ringkas trenkuasa, skuter yang 13 kg lebih berat daripada versi petrol ini dibekalkan dengan dua pek bateri boleh tanggal berkapasiti 1.5 kWj setiap satu yang diletakkan di bawah tempat duduk, mampu menawarkan jarak tunggangan sejauh 117 kilometer (km).

