SKUTER Elektrik ZEEHO AE4 (2024) Masuk Pasaran Malaysia, RM 6,999!
TERKINI
9/22/20241 min read


ZEEHO, pengeluar skuter dan motosikal elektrik di bawah 'sub jenama' syarikat pengeluar motosikal terkenal China, CFMOTO secara rasmi memasuki pasaran tempatan.
Sebagai permulaan, model pengenalan bagi jenama Zeeho di Malaysia adalah skuter elektrik ZEEHO AE4 (2024) yang diumumkan bersama harga asas RM 6,999.
Tiga warna pilihan ditawarkan iaitu Velocity Gray, Nebula White dan Helios Orange.
Sedikit mengecewakan, ZEEHO AE4 ketika ini masih belum berada dalam senarai program MARiiCas.
Dan sekalipun diperkenalkan lebih awal sempena pembukaan CFMOTO Flagship Store-ICity Motoworld, ia akan mula berada di rangkaian pengedar CFMOTO seluruh Malaysia paling lewat pada November depan.
Mengulas ringkas trenkuasa, memacu skuter ini adalah motor elektrik berkapasiti 1.6kW yang berupaya menghasilkan kuasa 3KW (4 Hp).
Ia kemudian dijana bateri litium ion berkapasiti 74v 27ah dengan jarak gerak untuk kapasiti penuh bateri adalah 63 km. Untuk pengecasan, skuter elektrik ini memerlukan 5.5 jam untuk pengecasan dari 0 hingga 80 peratus.
Sebagai sebuah skuter elektrik, ZEEHO AE4 berupaya memecut dari 0-30 km/j dalam masa sekitar 3.5 saat dengan kelajuan maksimum 65 km/j.
Selain rekaan yang futuristik, ZEEHO AE4 turut dipadankan dengan pelbagai ciri canggih dan paling mencuri perhatian adalah sistem kunci yang menggunakan kad NFC.
Sekalipun kunci fizikal masih tersedia, tetapi ia digunakan hanya untuk membuka ruang simpanan bawah pelana dan untuk mengunci skuter berkenaan dengan lokasi pengecasan juga ditempatkan di bawah pelana.
Memiliki dua mod tunggangan, Eco dan Sport, ia boleh diakses menerusi panel meter LCD digital berwarna.
Untuk keselamatan, skuter ini dipadankan dengan sistem brek cakera tunggal depan dan belakang dan lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) roda hadapan.
Set roda pula adalah 80/90-12 (depan) dan 100/80-12 (belakang) dengan sistem suspensi dijana fork teleskopik (depan) dan penyerap hentak berkembar di bahagian belakang.
Memiliki kapasiti ruang simpanan bawah pelana seluas 31 liter, berat kasar skuter ini adalah 96 kg.


