SKUTER Elektrik Zeeho AE4 (2025) Kini Dengan Rebat MARiiCas, Asas RM 4.6k Untuk Yang Layak!

TERKINI

2/20/20251 min read

ZEEHO Malaysia, hari ini mengumumkan salah satu skuter elektriknya di pasaran tempatan, Zeeho AE04 (2025) kini tersenarai dalam program MARiiCas atau 'Malaysia EV Incentive Scheme'.

Menerusi rebat ini, skuter berkenaan berubah kepada RM 4,599 (tidak termasuk insuran dan cukai jalan) kepada mereka yang layak.

Ketika pelancarannya pada tahun lalu, harga yang diumumkan untuk skuter berkenaan adalah RM 6,999 (asas).

Seperti diketahui, program MARiiCas adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik kepada rakyat Malaysia.

Dan mereka yang berkelayakan boleh memohon rebat sehingga RM 2,400.

Kepada yang tak tahu, Zeeho adalah adalah pengeluar skuter dan motosikal elektrik di bawah 'sub jenama' syarikat pengeluar motosikal terkenal China, CFMOTO.

Menurut Zeeho Malaysia, Zeeho AE04 adalah skuter yang menggabungkan praktikaliti, kecekapan dan kelestarian dengan lancar serta sesuai digunakan semua golongan.

Mengulas ringkas trenkuasa, memacu skuter ini adalah motor elektrik berkapasiti 1.6kW yang berupaya menghasilkan kuasa 3KW (4 Hp).

Ia dijana bateri litium ion berkapasiti 74v 27ah dengan jarak gerak untuk kapasiti penuh bateri adalah 63 km. Untuk pengecasan, skuter elektrik ini memerlukan 5.5 jam untuk pengecasan dari 0 hingga 80 peratus.

Sebagai sebuah skuter elektrik, ZEEHO AE4 berupaya memecut dari 0-30 km/j dalam masa sekitar 3.5 saat dengan kelajuan maksimum 65 km/j.

Selain rekaan yang futuristik, ZEEHO AE4 turut dipadankan dengan pelbagai ciri canggih dan paling mencuri perhatian adalah sistem kunci yang menggunakan kad NFC.

Maklumat lanjut mengenai pembelian, permohonan rebat dan cara mendaftar dalam

program MARiiCasb boleh didapati di laman web rasmi www.MARiiCas.gov.my atau dengan mengunjungi cawangan pengedar sah Zeeho seluruh Malaysia.

Seperti biasa, setiap pembelian Zeeho AE4 berpeluang menikmati jaminan pengeluar

selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (yang mana tiba dahulu) tertakluk kepada terma dan syarat.