SKUTER Enjin 2 Silinder, Cyclone RT450 Rasmi Di Malaysia, RM 27,988!
Seperti diketahui, pasaran untuk skuter dengan konfigurasi enjin 2 silinder boleh dikatakan cukup 'rare' khususnya berkapasiti 400 cc ke bawah dengan satu-satunya model yang sudah menerjah masuk adalah Voge SR450 X yang boleh dikatakan 'kembar' kepada Cyclone RT450
PELANCARAN
11/22/20262 min read


CYCLONE Malaysia mengumumkan kehadiran skuter yang dipadankan dengan enjin 2 silinder, Cyclone RT450 untuk pasaran tempatan bersama harga jualan yang boleh disifatkan cukup menarik, RM 27,988 (asas).
Seperti diketahui, pasaran untuk skuter dengan konfigurasi enjin 2 silinder boleh dikatakan cukup 'rare' terutama berkapasiti 400 cc ke bawah dengan satu-satunya model yang sudah menerjah masuk adalah Voge SR450 X.
Justeru, kehadiran Cyclone RT450 jelas akan merancakkan persaingan dalam segmen berkenaan.
Pilihan warna yang tersedia adalah Alabaster White, Prestige Black dan Strong Grey.
Dari sudut rekaan, Cyclone RT450 mengetengahkan falsafah skuter maxi yang lebih matang dan berprestij, dengan penampilan berinspirasikan grand tourer (GT) yang menekankan keselesaan perjalanan jarak jauh tanpa mengabaikan elemen sporty.
Garis badannya kemas, fairing hadapan yang lebar serta siluet yang memanjang memberikan aura premium dan eksklusif, sekali gus menyerlahkan karakter sebuah skuter yang sesuai untuk golongan profesional serta penunggang yang mengutamakan gaya dan keselesaan dalam satu pakej.
Ulas trenkuasa, Cyclone RT450 yang menggunakan enjin yang sama dengan Voge SR450 X susulan kerjasama kedua-dua syarikat itu iaitu enjin 398 cc, 2 Silinder, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC.
Dipadankan dengan transmisi automatik CVT, ia dikatakan menjanjikan penghantaran kuasa lebih halus berbanding enjin 1 silinder konvensional yang menjadikannya cukup bertenaga untuk kegunaan ulang-alik lebuh raya mahupun tunggangan santai hujung minggu.
Kuasa yang dihamburkan berada pada angka 42 Hp pada 8,100 rpm dan tork 44.2 Nm pada 5,600 rpm.
Keselesaan perjalanan jarak jauh turut disokong dengan kapasiti tangki bahan api sebesar 18 liter, ketinggian pelana 780 mm serta jarak roda 1,525 mm yang membantu mengekalkan kestabilan pada kelajuan tinggi.
Sistem brek menggunakan cakera tunggal (depan dan belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti Kunci (ABS) 2 Saluran, Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) serta Sistem Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS).
Suspensi pula menggunakan fork teleskopik konvensional (depan) dan penyerap hentak berkembar (belakang) lengkap dengan 'sub tank'.
Ciri-ciri menarik termasuklah pemanas pelana dan bar hendal, visor angin boleh laras elektrik, 2 ruang simpanan kokpit depan (kiri/kanan) dan ruang simpanan bawah pelana luas yang didakwa boleh memuatkan 2 helmet.
Sistem bantuan tunggangan elektronik termasuklah Blind Spot Detection (BSD) yang bertindak seperti radar dengan amaran dapat dilihat di bahagian cermin sisi, kamera pemuka (depan/belakang).
Info lain:
Set roda 120/70-15 (depan), 140/70-15 (belakang)
Tinggi pelana 780 mm
Berat 210 kg
Seperti biasa, setiap pembelian akan menikmati waranti komprehensif 2 tahun atau 20,000 kilometer - dengan lanjutan perlindungan komponen enjin tanpa had perbatuan dalam tempoh 2 tahun sekiranya melebihi jarak yang ditetapkan.





