SKUTER Gaya 'ADV' Peugeot XP400 Turun Harga, Kini RM 33,990, Tapi...

Begitupun, pembeli tidak boleh membeli Peugeot XP400 pada harga berkenaan namun perlu dibeli bersama Pakej Adventure yang menjadikan harga keseluruhannya RM 35,990 (tidak termasuk insurans, cukai jalan dan pendaftaran)

TERKINI

10/19/20261 min read

PEUGEOT Motocycles Malaysia mengumumkan harga baharu bagi skuter bergaya bergaya 'Adventure' Peugeot XP400 untuk pasaran tempatan yang kini bersama tanda harga baharu RM 33,990.

Pengumuman itu menyaksikan model import penuh (CBU) itu mencatatkan penurunan harga yang cukup ketara iaitu RM 10,000 berbanding harga pelancarannya sebelum ini, RM 43,990 mengikuti kehadiran rasmi Peugeot Motorcycles di Malaysia.

Begitupun, pembeli tidak boleh membelinya pada harga berkenaan namun ia ditawarkan bersama Pakej Adventure yang menjadikan harga keseluruhannya RM 35,990 (tidak termasuk insurans, cukai jalan dan pendaftaran).

Menerusi Pakej Adventure, pembeli akan menerima kotak simpanan atas (top box) tulen Peugeot dan bar pelindung kemalangan (crash bars) yang bernilai RM2,000. Pakej ini begitupun ditawarkan dalam kuantiti yang terhad.

Dua pilihan warna ditawarkan iaitu Mad Black dan Satin Technium, tertakluk kepada ketersediaan unit di bilik pameran.

Dari segi prestasi, XP400 dikuasakan oleh enjin PowerMotion bersesaran 400 cc, 1 Silinder, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api bersama transmisi auto CVT.

Kuasa yang dihamburkan sebesar 36.7 Hp pada 8,150 rpm dan tork 38.1 Nm pada 5,400 rpm.

Tampil dengan rekaan yang boleh dikatakan menarik, skuter yang direka dengan menggabungkan praktikaliti tunggangan harian dengan gaya model kembara dipadankan dengan suspensi fork hadapan terbalik (USD) bersaiz 41 mm dengan jarak pergerakan 140mm, manakala bahagian belakang menggunakan penyerap hentak tunggal.

Sistem brek menggunakan cakera kembar 295 mm (depan) dan cakera tunggal 240 mm (belakang) lengkap Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) 2 Saluran.

Ciri-Ciri lain:

  • Set roda 110/70-17 (depan), 160/60-15 (belakang)

  • Lampu LED penuh

  • Tinggi pelana 815 mm

  • Tangki bahan api 13.5 liter

  • Berat 231 kg

  • Panel meter Gabungan TFT-LCD analog berkembar Lengkap Sambungan Telefon pintar