SKUTER Gaya Klasik Itali, Brixton Moucca 250 (2026) Tembus Pasaran Malaysia, RM 12,888!

Dilancarkan ketika acara Motoxperience, Brixton Moucca 250 (2026) dipacu enjin 244 cc, 1 Silinder, Penyejuk Cecair yang digandingkan dengan transmisi automatik CVT

PELANCARAN

6/11/20261 min read

GAYA klasik Itali, tapi harga 'marhaen'. Itu boleh digambarkan untuk penawaran terbaharu Brixton Malaysia untuk pasaran tempatan iaitu Brixton Moucca 250 (2026).

Dari sudut penampilan, rekaan Brixton Moucca 250 sememangnya cukup mirip dengan skuter gaya hidup dari Eropah yang terkenal dengan harga jualan yang boleh dikatakan tinggi namun untuk pasaran tempatan, harga yang diumumkan hanyalah RM 12,888.

Seperti biasa, angka berkenaan adalah asas, tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

4 pilihan warna menarik ditawarkan iaitu Mint Green, Backstage Black, Enduro White, dan Clockwork Orange.

Ulas trenkuasa, Brixton Moucca 250 (2026) dipacu enjin 244 cc, 1 Silinder, Penyejuk Cecair yang digandingkan dengan transmisi automatik CVT.

Kuasa yang dihamburkan adalah sebesar 24.5 Hp pada 8,250 rpm dan tork 24 Nm pada 6,500 rpm.

Sistem henti dipacu cakera tunggal untuk kedua-dua roda, lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) 2 Saluran. Apa yang menarik, Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) datang sebagai kelengkapan standard.

Sistem suspensi pula menggunakan fork teleskopik konvensional tidak boleh laras (depan) dan penyerap hentak berkembar dengan ciri boleh laras (preload).

Ciri-ciri menarik lain termasuklah seperti sistem kunci pintar, port pengecasan USB, poket simpanan di bahagian kokpit hadapan, serta ruang simpanan barang di bawah pelana yang luas.

Sebagai tambahan yang jelas mampu menjadi daya tarikan, Brixton Moucca 250 juga didatangkan dengan kotak simpanan belakang secara standard.

Perincian lain:

  • Tinggi pelana 750 mm

  • Lega bumi 140 mm

  • Lampu LED penuh

  • Panel meter TFT/LCD

  • Set roda 120/70-13 (depan/belakang)

  • Tangki bahan api 11.5 liter

  • Berat 130 kg