SKUTER Gaya Premium, Harga Marhaen, Cyclone RT5 Tiba Di Cawangan Pengedar MForce, RM 16.8k!
Dari sudut penampilan, Cyclone RT5 jelas tampil dengan reka bentuk yang premium bersama saiz yang tegap tetapi apa yang menarik adalah ia turut dipadankan dengan ciri-ciri yang selalunya anda hanya jumpa pada skuter pada tanda harga 'kayangan'
PELANCARAN
8/21/20261 min read


PERSAINGAN dalam segmen skuter maksi 250 cc di Malaysia tambah meriah dengan pengumuman kehadiran pencabar yang tampil dengan spesifikasi mengujakan - Cyclone RT5 di MotoXperience 2026 Jun lalu.
Dan sempena pelancarkan MForce SmartShop pertama di Kedah, hari ini, skuter yang sarat dengan spesifikasi premium serta diumumkan pada harga asas RM 16,888 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans) itu akhirnya 'mendarat' di cawangan pengedar MForce Bike.
Dari sudut penampilan, Cyclone RT5 jelas tampil dengan reka bentuk yang premium bersama saiz yang tegap tetapi apa yang menarik adalah ia turut dipadankan dengan ciri-ciri yang selalunya anda hanya jumpa pada skuter pada tanda harga 'kayangan'.
Antara ciri-ciri premium yang ada adalah tongkat tengah yang dikuasakan elektrik. Selain itu, ia turut memiliki cermin sisi yang dilihat secara automatik ketika ia skuter dihidup dan dimatikan.
Selain itu, ia turut memiliki sistem keselamatan ala radar menerusi Sistem Pengesan Titik Buta yang akan memberi amaran kepada anda pada cermin sisi jika ada kenderaan berada di titik buta serta visor angin juga hadir dengan ciri boleh laras elektrik.
Di bahagian panel meter, kokpit Cyclone RT5 dilengkapi panel meter TFT berwarna sepenuhnya yang menyokong sambungan aplikasi telefon pintar Carbit Ride.
Turut menarik ia hadir dengan kamera 'dashcam' secara standard di bahagian depan dan belakang. Selain itu, ciri-ciri seperti Sistem Pemantauan Tekanan Angin Tayar (TPMS), port pengecasan USB Type-A dan Type-C, serta suis dengan lampu latar LED juga hadir secara standard.
Dari segi keselamatan tunggangan, Cyclone RT5 dipadankan dengan sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dwi-saluran dari BOSCH dan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) yang boleh dimatikan jika penunggang mahukan kawalan manual sepenuhnya.
Beralih ke bahagian trenkuasa, Cyclone RT5 dikuasakan oleh enjin 246.9 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Fi yang digandingkan dengan transmisi auto CVT. Kuasa berada pada angka 26 Hp 8,500 rpm dan tork 24.5 Nm pada 6,500 rpm.
Info lain adalah seperti:
Tangki bahan api 18 liter
Set roda 120/70-15 (depan) 140/60-14 (belakang)
Tinggi pelana 780 mm.
Untuk ketenangan minda pembeli, pihak Cyclone Malaysia menawarkan waranti komprehensif selama 2 tahun atau 20,000 km (mana-mana tiba dahulu).





