SKUTER Kompak WMOTO EZ125i (2025) Dilancarkan, RM 4.6k!

Penawaran terbaharu daripada jenama motosikal tempatan, WMOTO dalam segmen skuter namun kali ini bergaya urban kompak yang praktikal, WMOTO EZ125i (2025)

PELANCARAN

10/1/20251 min read

JENAMA motosikal tempatan, WMOTO meningkatkan penawarannya di pasaran dalam segmen skuter apabila melancarkan skuter bergaya urban kompak, WMOTO EZ125i (2025).

Tampil sebagai model serba guna, WMOTO EZ125i (2025) menurut WMOTO direka khas untuk penunggang harian yang mengutamakan keselesaan, gaya dan praktikaliti.

Apa yang menarik, harga jualan asas yang diumumkan cukup mengujakan, RM 4,588 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans).

Ditawarkan dalam empat pilihan warna menarik - Silver Grey, Grey, Red dan Deep Sky Blue - menurut MForce Bike, WMOTO EZ125i (2025) sudah pun boleh didapati di semua pengedar sah Mforce di seluruh negara.

Dari sudut trenkuasa, EZ125i dijana enjin 124 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, Penyejuk Udara, Suntikan Bahan Api dengan transmisi automatik CVT.

Kuasa dihamburkan Kuasa 11.8 Hp pada 7,500rpm dan tork 9.5 Nm pada 6,000 rpm.

Selain dilengkapi sistem penghidupan elektrik, ia turut mengekalkan penghidup penendang untuk kemudahan tambahan.

Tampil dengan perwatakan kompak, ketinggian pelana WMOTO EZ125i (2025) hanya 760 mm dengan berat kering hanya 95 kg dan dilihat cukup sesuai dengan pelbagai lapisan pengguna.

Lebih menarik, ia turut dilengkapi tangki bahan api berkapasiti 6.5 liter.

Di bahagian suspensi, WMOTO EZ125i (2025) menggunakan fork teleskopik konvensional (depan) dan penyerap hentak berkembar di belakang dengan sistem membrek pula dilengkapi dengan brek cakera di hadapan dan brek dram di belakang.

Info lain adalah seperti berikut:

  • Set roda 70/90-14 (depan), 80/90-14 (belakang).

  • Panel meter digital penuh LED

  • Sistem lampu LED penuh

  • Port pengecasan USB Type-A

  • Sistem kunci mekanikal

  • Ruang simpanan bawah pelana dan kokpit depan

  • Ada cangkuk barang

Macam biasa, setiap pembelian WMOTO EZ125i disertakan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000km (yang mana tiba dahulu), serta akses kepada pembelian alat ganti tulen secara atas talian melalui MForce Bike Holdings Sdn. Bhd.