SKUTER MODENAS Elit 150S (2025) Dilancar, RM 7,877!

Di bahagian trenkuasa, MODENAS Elit 150S dijana enjin bersesaran 150 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, Penyejul Cecair, Suntikan Bahan Api yang digandingkan dengan transmisi automatik CVT

PELANCARAN

9/12/20252 min read

PERSAINGAN dalam segmen skuter di pasaran tempatan terus hangat apabila MODENAS atau syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd melancarkan jagoan terbaharunya, MODENAS Elit 150S (2025).

Dari sudut penampilan, MODENAS Elit 150S (2025) yang dilancarkan sempena ulang tahun yang ke-30 Modenas tampil dengan rekaan moden yang segar tetapi paling menarik, harga yang mengujakan iaitu RM 7,877.

Seperti biasa, angka berkenaan adalah asas dan tdak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.

Dua pilihan warna menarik tersedia iaitu:

  • Riviera Blue

  • Quantum Grey

Menurut MODENAS, MODENAS Elit 150S direka khusus untuk keperluan penunggang urban moden menerusi gabungan gaya kontemporari, teknologi canggih, dan praktikaliti harian.

Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Roslan Roskan menyifatkan pelancaran MODENAS Elit 150S mengukuhkan lagi komitmen syarikat dalam menyediakan penyelesaian mobiliti yang boleh dipercayai, bergaya, dan bersedia untuk masa hadapan.

"Pelancaran ini amat bermakna kerana ia menghubungkan legasi 30 tahun kami dengan perjalanan masa depan yang menarik. Modenas Elit 150S mencerminkan komitmen kami untuk menggabungkan inovasi dengan praktikaliti harian.

"Ia direka untuk rakyat Malaysia yang mahukan lebih daripada sekadar mobiliti, tetapi untuk mereka yang juga menghargai gaya, keselesaan, dan kebanggaan pemilikan,” kata Roslan.

Menurut Roslan lagi, syarikat itu kini dalam perancangan untuk berkembang ke pasaran berpertumbuhan tinggi seperti Timur Tengah, China, dan Filipina, sambil terus melabur dalam R&D, teknologi lestari, dan pembangunan bakat melalui inisiatif TVET.

Selain reka bentuk moden yang berani serta kemasan premium, ciri-ciri menarik lain termasuk:

  • Lampu depan LED berkembar dengan lampu nyalaan siang (DRL)

  • Sistem kunci pintar

  • Ruang simpanan bawah pelana 23 liter

  • Panel meter LCD

  • Sistem lampu kecemasan

Dari sudut keselamatan, MODENAS Elit 150S dilengkapi dengan brek cakera di hadapan dan belakang manakala sistem suspensi dijana penyerap hentak berkembar di belakang.

Di bahagian trenkuasa, MODENAS Elit 150S dijana enjin bersesaran 150 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, Penyejul Cecair, Suntikan Bahan Api yang digandingkan dengan transmisi automatik CVT.

Kuasa dihamburkan adalah 14.1 Hp pada 8,250 rpm dan tork 13.5 Nm pada 6,750 rpm.

Katanya, ia cukup menghasilkan prestasi mantap dengan penjimatan bahan api yang efisien.

Rekaan pelana dikatakan ergonomik dan posisi tunggangan yang santai.

Turut menarik adalah ia memiliki kapasiti tangki bahan api yang cukup besar iaitu 12 liter yang membenarkan Modenas Elit 150S mampu mencapai jarak perjalanan sehingga 480 kilometer dengan satu isian penuh.