SKUTER Retro 'Sentuhan' Itali, Aveta Bellagio 125 (2026) Dilancarkan, RM 6,998!

Tampil dengan rekaan retro yang cukup mirip model ternama Itali termasuk visor angin klasik secara standard, Aveta Bellagio 125 (2026) begitupun ditawarkan pada harga jualan jauh lebih mampu milik

PELANCARAN

3/3/20261 min read

SELARAS dengan peningkatan populariti model skuter dalam segmen klasik bergaya Itali di pasaran tempatan, Aveta Motor Malaysia melancarkan jagoannya dalam segmen berkenaan iaitu Aveta Bellagio 125 (2026).

Tampil dengan rekaan retro yang cukup mirip model ternama Itali termasuk visor angin klasik secara standard, Aveta Bellagio 125 (2026) begitupun ditawarkan pada harga jualan jauh lebih murah iaitu RM 6,998 (asas).

Tiga pilihan warna diperkenalkan iaitu:

  • Diamond White

  • Pistachio Green

  • Carbon Black

Meskipun memiliki rekaan retro, pihak Aveta turut menerapkan elemen moden terhadap rekaan Aveta Bellagio 125 menerusi penggunaan 'grabrail' belakang bergaya urban selain ciri-ciri terkini yang kebiasaan ada pada skuter moden.

Antaranya adalah:

  • Lampu LED penuh

  • Panel meter digital LCD berwarna

  • Port pengecasan USB

Ulas trenkuasa, Aveta Bellagio 125 dipadankan dengan enjin 124 cc, 1 Silinder, Penyejuk Udara, Fi, SOHC bersama transmisi auto CVT.

Kuasa yang dihamburkan adalah pada 9 Hp pada 7,500 rpm dan tork 9.5 Nm pada 6,000 rpm.

Suspensi menggunakan fork teleskopik konvensional (depan) dan penyerap hentak berkembar belakang. Tugas menghentikan skuter ini pula diberikan kepada brek cakera (depan) dan dram (belakang).

Selain itu, apa yang dikatakan menarik adalah Aveta Bellagio 125 turut memiliki kapasiti tangki bahan api antara paling besar dalam segmennya iaitu 6 liter.