SKUTER 'Sport' MODA Sporter S (2025) Dilancarkan Di Malaysia, RM 17.8k!
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
1/3/20252 min read


PERSAINGAN dalam segmen skuter tempatan terus meriah dengan kehadiran 'pemain' terbaharu, MODA yang turut melancarkan model skuter pertamanya, MODA Sporter S (2025), hari ini.
Kepada yang baru mendengar nama MODA atau Mdua Motor Sdn Bhd, ia adalah anak syarikat kepada AFY Mobility Industries (AMI), syarikat yang turut bertanggungjawab terhadap Suzuki Malaysia.
Dan menurut syarikat itu, jenama MODA adalah pengeluar skuter tempatan pertama di negara ini dan hanya memberikan fokus penuh terhadap model skuter.
Seperti jenama lain di bawah AMI, model yang dijual adalah unit pemasangan tempatan (CKD) di kilang AMI di Glenmarie, Shah Alam.
Berbalik kepada MODA Sporter S (2025), ia adalah skuter yang diposisikan dalam segmen 'Sport' menerusi rekaannya yang tampil dengan ciri-ciri ergonomik bagaikan motosikal 'Sportbike'.
Tetapi apa yang mengujakan adalah skuter dengan sesaran enjin suku liter ini dijual pada harga menarik, RM 17,888 (asas) tidak termasuk yuran pendaftaran, insurans dan cukai jalan.
Dua pilihan warna ditawarkan iaitu Sporty Red dan Meteor Grey.
Mengulas trenkuasa, MODA Sporter S (2025) dijana enjin bersesaran 244 cc, 1 Silinder, 4 Injap, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair, SOHC yang digandingkan dengan transmisi automatik CVT.
Kuasa yang dihasilkan trenkuasa patuh piawaian emisi Euro4 ini adalah 24.8 Hp @ 8,500 rpm dan tork 22.5 Nm pada 6,500 rpm.
Selain rekaan yang menarik, perkara yang boleh menjadi daya tarikan lain terhadap MODA Sporter S (2025) adalah ia dipadankan dengan brek cakera berkembar (depan) yang membuatkan penampilannya nampak gagah.
Sebagai skuter moden, ia turut dilengkapi ciri Kawalan Traksi dan Sistem Pemantau Tekanan Tayar (TPMS).
Turut meningkatkan daya tarikannya ialah ia turut menggunakan fork jenis terbaik (USD) dengan suspensi belakang menggunakan penyerap hentak berkembar.
Sistem brek menggunakan cakera kembar 260 mm dengan kaliper 4 piston (depan) dan cakera tunggal 240 mm dengan kaliper piston tunggal (belakang) lengkap dengan sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dwi-saluran.
Ciri-ciri menarik lain adalah seperti berikut:
Sistem lampu LED penuh
Sistem kunci pintar
Panel meter TFT berwarna dengan ciri sambungan ke telefon pintar
Berat 186 kg.
Kapasiti tangki bahan api 13 liter.
Ruang simpanan bawah pelana 10 liter.
Port pengecas USB Type-A
Selepas MODA Sporter S (2025) yang berada dalam kategori 'Sport', syarikat itu berkata mereka akan memperkenalkan skuter dalam kategori 'Adventure' dan 'Urban' selepas ini.
Seperti biasa, jaminan pengeluar yang tersedia untuk MODA Sporter S (2025) adalah 2 tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (yang mana tiba dahulu).
Kepada yang berminat, MODA Sporter S (2025) akan mula berada di rangkaian pengedar AMI bermula esok.










