SOALAN Mengenai Enjin V4, Ini Jawapan 2 Pelumba Yamaha!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/1/20251 min read

YAMAHA tidak lagi bersembunyi yang mereka sedang membangunkan enjin dengan konfigurasi V4 untuk digunakan di MotoGP tetapi sehingga kini projek itu masih dianggap sebagai sulit.

Seperti diketahui, pengeluar Jepun itu menjadi satu-satunya pasukan daripada lima pengeluar yang bertanding di MotoGP masih menggunakan enjin 4 Silinder Sebaris.

Setakat ini, tiada garis masa diberikan oleh Yamaha bila enjin berkenaan akan membuat debutnya.

Tetapi menariknya, dengan peraturan konsesi yang diperoleh mereka, Yamaha tidak terikat dengan peraturan pembekuan pembangunan enjin yang bermula sejurus kempen 2025 membuka tirainya.

Dan ia juga bermakna mereka boleh berlumba menggunakan enjin V4 pada bila-bila masa termasuk pada musim ini jika ia sudah bersedia.

Ketika majlis pengenalan liveri baharu kedua-dua pasukan itu bagi kempen 2025 di ibu negara Kuala Lumpur, beberapa pelumbanya ditanya mengenai perkembangan berkenaan tetapi seperti dijangka, jawapan yang diberikan tidak begitu menyakinkan.

Jom lihat apa kata mereka.

Miguel Oliveira (Pramac Yamaha)

"Sasaran saya adalah untuk mengenali jentera ini, untuk mengenali Yamaha M1 dan bekerja dengan projek sedia ada.

"Dan itu adalah di mana fokus saya berada. Saya tidak fikir adalah bijak untuk berfikir mengenai sesuatu yang masih tidak ada. Saya mahu fokus sepenuhnya dengan jentera ini."

Fabio Quartararo (Monster Yamaha)

"Saya fikir semua orang meletakkan banyak jangkaan kepada V4, tetapi saya tidak mempunyai sebarang jangkaan kerana kamu boleh melihat kepada Honda. Honda menggunakan V4 dan mereka bergelut sama seperti kami.

"Jadi saya tidak fikir ia adalah isu terbesar kami. Jadi kami perlu melihat, kami perlu menganalisa masalah dan kemudian mencari jalan penyelesaian jika kami boleh memperbaikinya.

"Tetapi ketika ini kami benar-benar fokus dengan jentera 4 Silinder Sebaris pada 2025. Kami mempunyai pelumba ujian untuk itu (menguji V4). Saya fikir pada akhirnya kami mempunyai tiga pelumba dan saya fikir, dan yakin mereka akan mempunyai masa untuk menguji V4.

"Bila? Saya tidak tahu kerana saya tidak pernah bertanya."