'SOMKIAT Chantra Banyak Tenaga, Takaaki Nakagami Berpengalaman Luas'
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/22/20241 min read


PENGURUS Repsol Honda, Alberto Puig memberitahu tiada apa yang sudah diputuskan membabitkan slot terakhir Honda di MotoGP 2025 bersama pasukan satelit, LCR Honda ketika ini sebelum memberi pandangan mengenai 'perebutan' kerusi panas itu membabitkan Takaaki Nakagami dan Somkiat Chantra.
Saingan MotoGP ketika ini hangat dengan perkhabaran kehadiran pelumba Thailand, Chantra ke saingan elit itu musim depan, situasi yang membuatkan Honda berkemungkinan kehilangan pelumba kelahiran Jepun dalam perlumbaan berkenaan.
Mengakui pengalaman luas Nakagami yang sudah bersama LCR Honda sejak 2018 cukup diharapkan, Puig berkata kehadiran Chantra sebagai menarik dan mampu memberikan input yang berbeza.
"Tiada apa yang sudah diputuskan," kata Puig memetik laporan Crash.net. "Tetapi Taka (Nakagami) adalah pelumba yang mempunyai banyak pengalaman dengan jentera kami. Dan dia juga amat laju.
"Benar dia tidak begitu bertuah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dia mendapat beberapa kecederaan.
"Tetapi untuk mempunyai pelumba Jepun dan di tahap yang tinggi adalah sentiasa bagus untuk Honda, kerana komunikasi bersama krew dari Jepun kita boleh katakan lebih difahami.
"Dan saya fikir Taka mempunyai pemahaman yang tinggi terhadap jentera dan sepanjang tahun ini, dia banyak membantu dari sudut pembangunan jentera."
Mengenai Chantra, Puig mengakui mendengar mengenai 'cakap-cakap' mengenai kehadiran pelumba itu ke MotoGP sebagai menarik dan kekurangan pengalaman bagi pelumba Thailand itu bukan sesuatu yang buruk.
"Saya tidak tahu (siapa yang akan disenarai). Saya mendengar mengenai Chantra. Ia sesuatu yang menarik, untuk Thailand mempunyai pelumba di MotoGP," kata Puig.
"Dia memiliki banyak tenaga, dia banyak menyerang. Tetapi jelas dia tidak mempunyai pengalaman sebanyak Nakagami.
"Saya fikir dengan mempunyai pelumba 'rookie' belajar perkara baharu, kami boleh... mungkin memahami beberapa kekuatan atau beberapa kelemahan jentera. Ini kerana 'rookie' tidak mempunyai sebarang rujukan.
"Kadang kala memiliki perkara seperti kertas kosong boleh menjadi sesuatu yang menarik dan bagus," katanya.
