SOMKIAT Chantra Rasmi Sertai LCR Honda, Pelumba Kedua Asia Tenggara Di MotoGP Selepas Pescao!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/29/20241 min read

LCR Honda mengesahkan pelumba Thailand, Somkiat Chantra akan menyertai pasukan itu di MotoGP bermula musim depan sekaligus menjadi pelumba kedua dari Asia Tenggara beraksi di kelas elit itu selepas Hafizh Syahrin Abdullah.

Keputusan itu turut menyaksikan pelumba Jepun, Takaaki Nakagami yang sudah bersama pasukan yang disokong Idemitsu itu sejak 2018 terpaksa angkat kaki daripada kejuaraan itu.

Chantra yang ketika ini menghuni tangga ke-10 carta kejuaraan Moto2 2024 bersama pasukan Honda Team Asia akan menyertai senarai 'Rookie' di MotoGP musim depan bersama bekas rakan sepasukannya, Ai Ogura dan Fermin Aldeguer.

Memulakan karienya di Kejuaraan Motosikal Dunia dalam kelas Moto2 pada 2019, keputusan terbaik pernah diraih Chantra adalah menjuarai perlumbaan di GP Indonesia pada 2022 dan GP Jepun pada 2023.

"Saya teruja untuk menyertai pasukan LCR," kata Chantra yang menjadi pelumba pertama Thailand beraksi di MotoGP.

"Melangkah ke MotoGP sentiasa menjadi impian saya, dan ia akhirnya menjadi kenyataan. Saya mahu berterima kasih kepada semua penaja-penaja dan mereka yang menyokong saya sejak awal karier saya sehingga kini.

"Untuk musim depan, saya komited untuk belajar, memberikan yang semaksimum mungkin dan menikmati pengembaraan baharu ini. Ia pasti akan sukar tetapi saya akan memberikan yang terbaik," kata Chantra yang akan bergandingan dengan pelumba berpengalaman Perancis, Johann Zarco musim depan.

Prinsipal pasukan LCR Honda, Lucio Cecchinello berkata pihaknya bersama HRC percaya sudah tiba masa untuk pelumba berbakat Asia seperti Chantra diberikan peluang untuk beraksi di pentas tertinggi.

"Sepanjang pengalamannya di Moto2, dia (Chantra) sudah menunjukkan potensi dan skil untuk berkembang dan menjadi pelumba yang kuat di MotoGP. LCR dan Honda akan menyediakannya sokongan yang terbaik sepanjang fasa berbeza untuk projek baharu ini."