SOMKIAT Chantra Tak Terkesan Khabar Angin Disingkir LCR Honda

Lucio Cecchinello yang juga bos LCR honda mengakui Somkiat Chantra belum dapat menyesuaikan sepenuhnya gaya tunggangannya dengan apa yang diperlukan jentera MotoGP

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/15/20251 min read

SOMKIAT Chantra
SOMKIAT Chantra

BOS LCR Honda, Lucio Cecchinello tidak percaya yang pelumba 'rookienya', Somkiat Chantra terkesan dengan khabar angin yang sedang berlegar menyatakan tempatnya bagi kempen MotoGP pada musim depan sudah pun dimiliki pelumba lain.

Pemenang dua perlumbaan Moto2 yang berada dalam program bakat Honda itu menyertai LCR Honda pada musim ini sekali gus menjadi pelumba Thailand pertama beraksi di MotoGP.

Tetapi tidak seperti dua lagi pelumba rookie yang bersamanya pada musim ini - Fermin Aldeguer dan Ai Ogura, prestasi yang ditampilkan Chantra boleh dikatakan agak jauh.

Selepas 12 pusingan, Chantra hanya mengumpul satu mata sekali gus mencipta khabar angin yang Honda sedang merancang untuk menggantikannya dengan pelumba Moto2, Diogo Moreira.

"Saya tidak melihat dia merasa bimbang," kata Cecchinello memetik laporan Crash.net menjelang GP Austria 2025. "Dia gemar berlumba. Dia mengetahui yang MotoGP adalah kategori yang amat, amat sukar.

"Dia sedar yang mungkin dia memerlukan lebih sedikit masa untuk mempelajari kategori ini dan untuk memahami bagaimana untuk menunggang jentera MotoGP kerana dia laju."

Cecchinello begitupun mengakui Chantra belum menyesuaikan gaya tunggangannya dengan apa yang diperlukan jentera MotoGP.

"Dia masih melakukan beberapa kesilapan ketika menunggang, terutamanya dia terlalu menekan brek. Dia terlalu fokus untuk mendapatkan kelebihan ketika membrek, sedangkan dalam MotoGP, anda perlu lebih berhati-hati, terutamanya di awal selekoh, di mana anda perlu ‘korbankan’ sedikit prestasi membrek untuk bersedia menghadapi fasa keluar selekoh, kerana di situlah sebenarnya anda boleh dapat kelebihan.

"Dia masih perlukan sedikit lagi masa, dan sudah tentu dia berharap semua khabar angin akan reda tidak lama lagi, kemudian mendapat peluang untuk berlumba dalam MotoGP.

"Tetapi keputusan ini akan dibuat oleh Honda HRC dalam beberapa minggu akan datang."

Chantra kini sedang berehat akibat kecederaan lutut susulan insiden ketika menjalani latihan selepas GP Belanda, namun dijangka akan kembali beraksi pada pusingan Barcelona bulan September nanti.