SPEKULASI Toprak Razgatlioglu Ke MotoGP? Ini Jawapan Pramac!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/6/20251 min read

PRAMAC Yamaha ketika ini sedang kuat dikaitkan dengan perpindahan sensasi juara dunia dua kali WorldSBK, Toprak Razgatlioglu ke MotoGP.

Ia berlaku apabila pengurus kepada pelumba kelahiran Turki itu berkata perpindahan itu 'hanya selangkah' untuk dimuktamadkan dengan pasukan satelit Yamaha, Pramac Racing paling kuat disebut sebagai calon.

Difahamkan, perjalanan perjanjian itu menjadi mudah kerana Pengarah Urusan Yamaha Racing, Paolo Pavesio yang dikatakan mempunyai hubungan baik dengan Razgatlioglu sejak dia memenangi gelaran dunia WorldSBK pertamanya pada tahun 2021.

Dan laporan itu turut mendakwa yang perjanjian itu akan diumumkan secara rasmi di gelanggang laman sendiri pasukan Pramac, Mugello dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Ketika ditanya mengenai perkara itu, bos Pramac Racing, Gino Borsoi memberitahu MotoGP: "Khabar angin adalah khabar angin. Sudah tentu Yamaha masih mempunyai hubungan dengan Razgatlioglu.

"Mereka sedang berbincang. Kami bercakap mengenai musim depan, tetapi kami juga berfikir mengenai pelumba-pelumba kami. Pelumba kami menunjukkan potensi yang hebat dan ketika ini kami juga sedang memahami jika kami mahu mengekalkan barisan yang ada pada musim ini untuk musim depan."

Pramac Yamaha ketika ini dipacu dua pelumba, Miguel Oliveira yang memiliki kontrak selama dua tahun dan Jack Miller yang kontraknya akan berakhir pada penghujung musim ini. Tetapi prestasi Miller menjadikannya pelumba pilihan untuk kekal.

Disoal lanjut mengenai pelumba sedia ada, Borsoi menjawab: "Ia bergantung kepada perjanjian. Kami mempunyai dua perjanjian berbeza dengan pelumba-pelumba kami, jadi kami perlu meneliti dengan sebaiknya dan berbincang dengan pengurus mereka mengenai masa depan.

"Seperti saya katakan, kami masih berfikir mengenai senarai pelumba untuk tahun depan dan saya tidak fikir ingin menambah apa lagi.

"Khabar angin adalah khabar angin, tiada kontrak sudah ditandatangani dengan Toprak. Kami terbuka untuk perbincangan. Di antara sekarang dan musim panas, kami perlu memahami di mana pelumba kami berada, dan kemudian akan membuat keputusan."