SPESIFIKASI Padu, Harga Menarik, Mampukah SYM ADX 400 (2025) 'Tawan' Pengguna Malaysia?

TERKINI

4/15/20251 min read

MFORCE Bike seperti pengumumannya sebelum ini akan meningkatkan penawarannya menerusi jenama SYM di pasaran tempatan dan antara yang dijangka mendapat perhatian adalah skuter bergaya 'Adventure' SYM ADX 400 (2025).

Mungkin tidak perlu diperkenalkan, SYM atau nama panjangnya Sanyang Motor Co., Ltd., adalah pengeluar motosikal dan skuter terkemuka dari Taiwan.

Berbalik kepada SYM ADX 400 yang turut dikenali SYM ADXTG 400 di negara asalnya, dari sudut rekaan, ia memang tampil dengan 'watak' sebuah skuter yang agresif dan garang.

Dan untuk menjadikannya mampu dibawa mengharungi laluan lasak (ringan), ia dihasilkan dengan kemampuan daya tahan yang tinggi dan dipadankan dengan pelbagai komponen berkualiti.

Antaranya adalah seperti penggunaan tayar dwifungsi, jarak 'travel' suspensi panjang, penggunaan swingarm aluminium dan sistem pacuan akhir menggunakan rantai.

Justeru, ada yang menyatakan tunggangan SYM ADX 400 mungkin lebih kepada motosikal dan bukan konvensional skuter.

Sebelum pergi lebih jauh, untuk pasaran Malaysia, SYM ADX 400 dijangka dilancarkan pada bulan depan bersama harga penawaran menarik, bawah RM 30k.

Angka itu bukan sekadar sembang kedai kopi, malah diumumkan sendiri bos MForce Bike sendiri.

Apa yang lebih menarik, angka harga sebenarnya mungkin akan diumumkan oleh MForce Bike ketika lawatan syarikat itu ke ibu pejabat SYM di Taiwan bersama deligasi media, minggu ini.

Mengulas spesifikasi trenkuasa, SYM ADX 400 dipadankan dengan enjin dengan teknologi Hyper-VVS (Hyper Variable Valve System) bersesaran 399 cc, 1 Silinder, 4 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, dengan transmisi automatik CVT.

Kuasa yang dihamburkan adalah 34.5 Hp @ 7,000 rpm dan tork 37.2 Nm @ 5,500 rpm.

Dengan teknologi Hyper-VVS, SYM ADX 400 dikatakan mampu memberikan pecutan lancar dan responsif, kurang gegar dan memiliki kecekapan penggunaan bahan api yang baik.

Dari segi teknologi, SYM ADX 400 memiliki mod tunggangan 'off-road' yang menyaksikan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) untuk tayar belakang dinyah aktif bagi mod berkenaan.

Selain itu, ia turut memiliki ciri Kawalan Cengkaman (boleh nyahaktif), sistem lampu LED penuh dan panel meter LCD berwarna.

Ciri-ciri lain adalah seperti berikut:

  • Bar hendal boleh laras

  • Set roda 120/70-R15 (depan), 150/70-R14 (belakang)

  • Pelindung tangan

  • Visor angin

  • Port pengecas USB

  • Sistem lampu LED penuh

  • Tangki bahan api 13 liter

  • Berat 213 kg

  • Jarak lega bumi 160 mm

  • Tinggi pelana 790 mm