'SPORTBIKE' ZXMoto 500RR Ditawarkan Pada Harga RM 29,988

Sebagai motosikal dalam segmen 'fairing' penuh berteraskan kelajuan dan antara yang dinanti-nantikan di pasaran, ZXMoto 500RR menumpukan kepada gabungan prestasi, kelajuan dan kawalan tunggangan yang optimum

TERKINI

9/14/20261 min read

PEMINAT motosikal 'Sportbike' kelas pertengahan di Malaysia kini mempunyai pilihan baharu yang menarik di pasaran apabila MForce Bike secara rasmi mengumumkan harga rasmi ZXMoto 500RR iaitu RM 29,988.

3 pilihan warna tersedia iaitu:

  • Nitro Red

  • Onyx Black

  • Frost White

Sebagai motosikal dalam segmen 'fairing' penuh berteraskan kelajuan dan antara yang dinanti-nantikan di pasaran, ZXMoto 500RR menumpukan kepada gabungan prestasi, kelajuan dan kawalan tunggangan yang optimum.

Seperti namanya, ZXMoto 500RR dipadankan dengan enjin 470.2 cc, 4 Silinder Sebaris, 16 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC bersama transmisi 6 kelajuan klac manual lengkap klac 'slipper' dan turut memiliki ciri 'Quickshifter'.

Kuasa berada pada angka 84 Hp pada 13,500 rpm dan tork 46 Nm pada 11,500 rpm.

Selain tampil dengan rekaan cukup menarik dan garang, antara ciri yang menjadi tarikan kepada ZXMoto 500RR adalah penggunaan lengan ayun atau 'swingarm' pakai jenis 'single-sided' serta memiliki sistem 'Ram-Air'.

Turut mengujakan adalah ZXMoto 500RR dikatakan mampu dikerah sehingga kelajuan maksima sekitar 235 km/j dengan jarak 0-100 km/j sekitar 3.4 saat.

Seperti 'abangnya' ZXMoto 820RR, ZXMoto 500RR turut dilengkapi pelbagai ciri elektronik menarik termasuk 6-Axis IMU yang mengawal Cornering ABS, TCS serta 4 mod tunggangan – Sport, Street, Beginner dan Custom.

Menggunakan kerangka jenis 'trellis' keluli, ZXMoto 500RR yang memiliki berat 170 kg turut memiliki 'Steering damper' secara standard.

Suspensi dijana fork jenis terbalik (USD) 41 mm serta penyerap hentak tunggal (belakang) dengan ciri boleh laras penuh dengan brek menggunakan cakera berkembar 320 mm (depan) dan cakera tunggal 240 mm (belakang) lengkap dengan ABS dwi-saluran.

Ciri-ciri lain adalah seperti panel meter TFT, port pengecas USB, sistem pencahayaan LED penuh.

Jaminan pengeluar komprehensif adalah selama 2 tahun atau jarak perjalanan 20,000 km dengan waranti perbatuan tanpa had untuk komponen enjin jika melebihi had perbatuan dalam tempoh berkenaan.