SPRINT GP Austria 2025 Milik Marc Marquez

Sekalipun memulakan perlumbaan di petak ke-4, Marc Marque berjaya memperoleh permulaan yang baik apabila memintas pelumba di depannya termasuk Marco Bezzecchi untuk berada di belakang adiknya, Alex Marquez seawal pusingan pertama

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/16/20252 min read

MARC Marquez meneruskan dominasinya dengan menjuarai Perlumbaan Sprint Grand Prix (GP) Austria 2025 - kejayaan yang meningkatkan jumlah kemenangan Sprint yang diperolehnya musim ini kepada 12 daripada 13 pusingan.

Kemenangan yang diperoleh - keenam secara berturut-turut - juga menamatkan kemarau kemenangan juara dunia lapan kali itu di Red Bull Ring.

Sekalipun memulakan perlumbaan di petak ke-4, Marc berjaya memperoleh permulaan yang baik apabila memintas pelumba di depannya termasuk pelumba petak utama, Marco Bezzecchi untuk berada di belakang adiknya, Alex Marquez seawal pusingan pertama.

Dan selepas agak lama berada di belakang pelumba Gresini Ducati itu, Marc memulakan langkahnya untuk memintas adiknya Alex berbaki lima pusingan.

Pelumba kelahiran Sepanyol itu tidak lagi memandang ke belakang untuk melepasi garisan penamat sebagai juara dengan Alex terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua.

Pelumba yang boleh dianggap jaguh tuan, Pedro Acosta dari Red Bull KTM turut mencipta kejutan dengan melengkapkan kedudukan podium sekali pun bermula di petak ke-7.

Bezzecchi menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-4 dengan Brad Binder (Red Bull KTM) di tempat ke-5 dan rakan sepasukan Alex, Fermin Aldeguer di tempat ke-6.

KTM turut mempunyai tiga pelumba yang berada dalam kelompok pungutan mata selepas Enea Bastianini (Tech3 KTM) menamatkan perlumbaan di tempat ke-7 diikuti seorang lagi pelumba Ducati, Fabio Di Giannantonio (VR46 Ducati) di tempat ke-8.

Mata terakhir diperoleh pelumba Honda, Johann Zarco (LCR Honda) dengan penyandang juara dunia, Jorge Martin (Aprilia Racing) di tempat ke-10. Tiada pungutan mata daripada pelumba Yamaha dengan jaguhnya, Fabio Quartararo (Monster Yamaha) menamatkan perlumbaan di tempat ke-11.

Malang turut menimpa pemenang di Red Bull Ring pada musim lalu, Francesco Bagnaia selepas terpaksa menamatkan perlumbaan dengan status DNF.

Selepas berdepan kesukaran di garisan permulaan yang menyaksikannya tergelincir ke tempat ke-14, Bagnaia yang memulakan perlumbaan di petak ketiga jelas bergelut dengan keadaan jenteranya sebelum memutuskan untuk kembali pit.

Keputusan Perlumbaan Sprint GP Austria 2025

  1. Marc Marquez (SPA) Ducati Lenovo (GP25), 20m 56.071s

  2. Alex Marquez (SPA) Gresini Ducati (GP24), +1.180s

  3. Pedro Acosta (SPA) Red Bull KTM (RC16), +3.126s

  4. Marco Bezzecchi (ITA) Aprilia Racing (RS-GP25), +4.032s

  5. Brad Binder (RSA) Red Bull KTM (RC16), +4.782s

  6. Fermin Aldeguer (SPA) Gresini Ducati (GP24)*, +6.032s

  7. Enea Bastianini (ITA) Red Bull KTM Tech3 (RC16), +8.294s

  8. Fabio Di Giannantonio (ITA) Pertamina VR46 Ducati (GP25), +10.953s

  9. Johann Zarco (FRA) Castrol Honda LCR (RC213V), +11.999s

  10. Jorge Martin (SPA) Aprilia Racing (RS-GP25), +12.111s

  11. Fabio Quartararo (FRA) Monster Yamaha (YZR-M1), +13.387s

  12. Luca Marini (ITA) Honda HRC Castrol (RC213V), +13.704s

  13. Joan Mir (SPA) Honda HRC Castrol (RC213V), +13.822s

  14. Franco Morbidelli (ITA) Pertamina VR46 Ducati (GP24), +14.564s

  15. Ai Ogura (JPN) Trackhouse Aprilia (RS-GP25)*, +18.414s

  16. Alex Rins (SPA) Monster Yamaha (YZR-M1), +19.365s

  17. Jack Miller (AUS) Pramac Yamaha (YZR-M1), +20.844s

  18. Miguel Oliveira (POR) Pramac Yamaha (YZR-M1), +21.581s

Raul Fernandez (SPA) Trackhouse Aprilia (RS-GP25), DNF

Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo (GP25), DNF